
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, kecoh di media sosial perihal kematian seekor anjing dikenali sebagai Rocky ketika operasi tangkapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pelabuhan Klang.
Isu itu nyata menjadi bualan ramai apabila ada segelintir pihak mendakwa kematiannya berpunca daripada tindakan salah seorang individu dalam operasi terbabit.
Namun, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain menjelaskan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika tangkapan anjing liar yang mengakibatkan kematian haiwan berkenaan.
Sebaliknya, insiden dipercayai berlaku selepas seorang individu yang mengaku sebagai pemilik haiwan mengganggu operasi menyebabkan berlaku perebutan yang akhirnya mengakibatkan haiwan itu terjerut.
Kematian Rocky Cerminan Kegagalan Sistem Yang Tak Berperikemanusiaan
Terbaharu, aktivis kebajikan haiwan, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan kematian Rocky sebagai cerminan kegagalan sistem yang tidak berperikemanusiaan.
Menurut Lee, laporan pengendalian Rocky yang didakwa dilakukan secara agresif sehingga membawa kepada kematiannya di hadapan orang awam telah menimbulkan kesedihan serta kemarahan yang mendalam.
Malah jelas bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang itu, kejadian tragis berkenaan turut menimbulkan persoalan berapa banyak lagi insiden seumpama itu perlu berlaku sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Bagaimana sesiapa boleh mewajarkan perkara ini? Bagaimana kita boleh berdiam diri sementara makhluk hidup yang bernafas, ahli keluarga kita dan persekitaran kita bersama, tertakluk kepada keganasan yang menyayat hati atas nama ‘operasi rutin’?” katanya.
Kes Rocky Bukan Sekadar Isu Kecil, Cerminkan Kelemahan Sistem
Tambah Lee, kes Rocky ini bukan sekadar kesilapan kecil namun ia mencerminkan kelemahan sistem yang berpunca daripada kekurangan empati, tadbir urus serta keberanian moral.
“Kita menyalahkan protokol, birokrasi dan bersembunyi di sebalik kelemahan pentadbiran, serta menuding jari ke setiap arah kecuali di tempat yang sepatutnya dipersalahkan iaitu kekurangan empati, tadbir urus dan keberanian moral kita sendiri,” ujarnya.
Tambah Lee lagi, apabila tindakan penguatkuasaan berubah menjadi adegan yang melibatkan keganasan dan kematian, maka tiada justifikasi teknikal atau masalah birokrasi yang boleh membersihkan hati nurani masyarakat.
Tegasnya, SOP yang diwujudkan adalah bertujuan untuk memastikan ketenteraman serta melindungi kebajikan manakala belas kasihan pula bukanlah pilihan namun menjadi asas kepada sebuah negara yang bertamadun.
“Setiap kali kita mengabaikan seruan keadilan ini, kita merosakkan kemanusiaan kita sendiri,” jelasnya.
Kes Rocky Perlu Jadi Tauladan, Pastikan Kejadian Sama Tidak Berulang
Jelas Lee lagi, kes Rocky tidak seharusnya diratapi namun ia perlu diikuti dengan perubahan konkrit bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Antara langkah penambahbaikan yang dicadangkan adalah melalui penerapan dan pelaksanaan kaedah TNVR (Trap-Neuter-Vaksin-Pelepasan/Pengembalian) di Malaysia bagi menggantikan kaedah ‘tangkap dan bunuh’ yang disifatkan tidak berkesan serta usang.
Tambah Lee, Majlis Perbandaran perlu mewajibkan TNVR dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan haiwan yang diiktiraf serta rangkaian veterinar untuk menguruskan populasi haiwan terbiar itu dengan cara berperikemanusiaan.
Malah, Lee turut menggesa teknik tangkapan yang lebih berperikemanusiaan digunakan serta larangan terhadap penggunaan jerat dawai, gelung mencekik dan peralatan pengekangan fizikal yang ganas.
“Kakitangan penguat kuasa dan kontraktor pihak ketiga mesti menjalani latihan mandatori yang diperakui dalam pengendalian haiwan tanpa kekerasan di bawah pengawasan ketat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” jelasnya.
Bukan itu sahaja, Lee turut mencadangkan larangan ketat terhadap proses sitaan haiwan di kawasan persendirian tanpa notis undang-undang bertulis serta membuat perundingan bersama pemilik selain penubuhan jawatankuasa penyelia dan pelaporan bebas bagi setiap majlis tempatan.
Jelas Lee, keahlian jawatankuasa itu perlulah terdiri daripada penyokong kebajikan haiwan, profesional veterinar dan wakil undang-undang yang berperanan menyemak aduan awam, menyiasat salah laku operasi serta memastikan pematuhan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Aktivis Seru Pihak Berkuasa Buat Siasatan Menyeluruh & Telus Terhadap Isu Rocky
Pada masa sama, Lee turut menyeru pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh terhadap kes berkenaan.
“Orang ramai berhak mendapat jawapan, dan Rocky berhak mendapat keadilan. Akauntabiliti mesti pantas dan mutlak.
“Mereka yang bertanggungjawab melanggar undang-undang kebajikan haiwan atau gagal dalam tugas penjagaan asas mereka mesti menghadapi sepenuhnya tindakan undang-undang,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Tiada Pelanggaran SOP”- Kes Anjing Mati Terjerut, MBDK Tampil Beri Penjelasan
Baca Artikel Berkaitan: Isu Kematian Anjing Rocky: Mekyun Mohon Maaf, Terlalu Cepat Buat Kesimpulan






