Isu Kematian Anjing Rocky: Mekyun Mohon Maaf, Terlalu Cepat Buat Kesimpulan

3 Aug 2026 • 1:26 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Isu Kematian Anjing Rocky: Mekyun Mohon Maaf, Terlalu Cepat Buat Kesimpulan

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak Jumaat (31 Julai) lalu, kecoh di media sosial isu mengenai seekor anjing bernama Rocky yang didakwa maut ketika operasi tangkapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pelabuhan Klang, Selangor.

Insiden terbabit nyata mendapat perhatian pengguna media sosial termasuklah pempengaruh, Mekyun yang mengulas mengenai isu berkenaan.

Walau bagaimanapun, ulasan pempengaruh itu mendapat kecaman segelintir pihak yang berpendapat Mekyun seharusnya mendengar kenyataan kedua-dua pihak sebelum mengeluarkan video.

Mekyun Mohon Maaf Terlalu Cepat Buat Kesimpulan

Semalam (2 Ogos), Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee tampil membuat permohonan maaf berhubung isu berkenaan dalam satu hantaran di Threads.

Jelas Mekyun, dia sedar dengan kesalahannya yang terlalu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan info yang dikongsikan kepadanya serta dari sebelah pihak sahaja.

“Kepada semua, Mekyun ingin memohon maaf atas video dan kenyataan yang telah Mekyun keluarkan berkenaan kes Rocky, baru-baru ini.

“Mekyun sedar pada waktu itu, Mekyun terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan info-info yang orang ‘share’ dan hanya melihat dari satu pihak sahaja.

“Mekyun sepatutnya memberi ruang untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak serta menunggu siasatan dan fakta yang lengkap sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” jelasnya.

Mekyun Bertanggungjawab Atas Kesilapan & Berterima Kasih Pada Yang Menegur

Tambah Mekyun lagi, dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang dibuat serta memilih untuk memadam video tersebut.

“Mekyun bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan Mekyun dan benar-benar memohon maaf kepada semua yang kecewa dengan tindakan Mekyun, terutamanya kepada ibu bapa yang terkesan dengan video Mekyun itu.

“Mekyun telah delete (padam) video itu sebab Mekyun sedar tindakan Mekyun mengeluarkan video itu tanpa mendapatkan gambaran yang menyeluruh adalah satu kesilapan,” katanya.

Pada masa sama, Mekyun turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang memberi teguran kepadanya mengenai isu berkenaan.

Jelas pempengaruh yang berasal dari Kelantan itu, dia akan menjadikan insiden tersebut sebagai satu pengajaran untuk berhati-hati di masa hadapan.

“Terima kasih kepada semua yang menegur semua yang menegur Mekyun. Mekyun akan jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati, lebih bertanggungjawab dan memastikan Mekyun mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh sebelum berkongsi pandangan pada masa akan datang,” katanya.

Anjing Rocky Dipercayai Maut Akibat Dipukul Dalam Operasi

Sebelum ini, tular di media sosial hantaran seorang pengguna di Threads yang mendakwa dia serta ibunya menyaksikan kematian ‘anjing peliharaan’ mereka bernama Rocky mati dipercayai akibat dipukul ketika dalam operasi berkenaan.

Dakwa pengguna terbabit, anjing yang dijaga dan dibesarkan sejak kecil itu telah diikat dengan tali pada bahagian leher sebelum ditarik dengan kuat sehingga tercekik selain turut dipukul menggunakan batang besi.

Namun, dia kemudiannya mengakui anjing tersebut bukanlah anjing peliharaannya sebaliknya hanya mewakili pemilik anjing sebenar.

View on Threads

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kemudiannya tampil mempertahankan tindakan pegawai berkenaan dan berkata pemilik Rocky bertindak agresif dengan cuba memotong tali jerut yang digunakan untuk mengikat anjing tersebut.

Malah, dia juga mengugut untuk mencederakan dirinya sekiranya Rocky tidak dilepaskan.

MBDK berkata kekecohan yang berlaku menyukarkan pegawai melonggarkan tali berkenaan dan mengesahkan Rocky mati ketika kejadian, lapor Harian Metro.

Selain Mekyun, perkongsian itu nyata mendapat perhatian ramai termasuk beberapa selebriti tanah air antaranya Sherry Ibrahim dan Kila Fairy.

Namun, ada pengguna yang dipercayai penduduk di kawasan tersebut menjelaskan mereka sebenarnya telah lama berhadapan dengan masalah anjing liar sehingga ada yang cedera disebabkan haiwan berkenaan.

Dakwa individu itu lagi, dia sememangnya kesal dengan tindakan segelintir artis yang telah menyebarkan info salah mengenai seorang petugas PBT yang kononnya didakwa menjadi punca kematian Rocky.

View on Threads

MB Selangor Ingatkan Semua Pihak Jangan Selektif Berhubung Isu Anjing Liar

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan kepada semua pihak agar tidak selektif berhubung isu berkenaan anjing liar.

Jelas beliau, kerajaan negeri sentiasa komited menjaga keselamatan awam serta kebajikan terhadap haiwan dan berpendapat perkara itu perlu diseimbangkan.

“Kita akan mengambil tindakan berterusan terhadap anjing liar cuma kerajaan negeri kena bertindak demi kemaslahatan umum.

“Tindakan dibuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang juga bangkitkan isu keselamatan rakyat tetapi kenapa tuduhan dikenakan oleh pihak tertentu, pihak luar.

“Sebab itu saya sebutkan titik keseimbangan. Titik keseimbangan adalah kita perlu buat tindakan, elakkan daripada peristiwa anjing berkeliaran yang menyebabkan faktor keselamatan.

“Jadi, jangan selektif dalam membuat tuduhan (terhadap isu berkenaan),” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Baca Artikel Berkaitan: Rakaman CCTV Dedah Situasi Sebenar Budak 4 Tahun Diserang Anjing Liar [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Takut Rabies” – Sekumpulan Anjing Liar Berkeliaran Di Pantai Sekitar PD Undang Perhatian [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved