amree07/09/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept — Lonjakan permintaan elektrik semakin pesat memberi tekanan kepada sektor tenaga menyediakan kapasiti penjanaan baharu bagi memenuhi keperluan bekalan, menurut RHB Research.
Firma itu berkata perkembangan pusat data (DC) menjadi antara pemacu utama pertumbuhan, sekali gus menjadikan keupayaan penambahan kapasiti baharu yang mencukupi sebagai cabaran penting akan datang.
Ia namun mengekalkan pandangan 'overweight' selepas prestasi 1H26 menepati unjuran, dengan hanya tiga daripada 10 syarikat di bawah liputannya yang mencatat keputusan kewangan di bawah jangkaan.
"Beberapa syarikat dijangka mendapat manfaat besar daripada pertumbuhan tinggi permintaan elektrik serta perkembangan tenaga boleh diperbaharui (RE)," jelas RHB Research dalam nota analisisnya.
Antara kaunter pilihan utama firma penyelidikan itu yang dinilah berpotensi ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), YTL Power International Berhad, Samaiden Group Berhad dan Solarvest Holdings Berhad.
Ujarnya, bagi TNB, pendapatan berulang 1H26 naik 5%, disokong pertumbuhan 9% dalam jualan elektrik terutama didorong sektor komersial yang meningkat 14% termasuk permintaan elektrik daripada DC.
Kadar cukai efektif (ETR) kata RHB Research, turut mengecil kepada 28% pada 2Q26, dan pengurusan mengekalkan sasaran ETR sebanyak 24% bagi tahun penuh, memberi ruang kepada peningkatan keuntungan.

"YTL Power pula mencatat peningkatan perniagaan DC apabila segmen itu menjana RM244 juta kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) pada 4QFY26, berbanding RM59 juta pada 3QFY26," tambah firma itu.
Ia menjangkakan sumbangan DC terus meningkat selepas kapasiti operasi 150MW digunakan sepenuhnya, selain YTL Power diunjur dapat menyiapkan tambahan kapasiti sebanyak 200MW menjelang Jun 2027.
Di samping itu, kumpulan berkenaan ujar RHB Research, memperoleh lagi tanah berkeluasan 58.67 hektar di Sedenak, Johor untuk dapat membangunkan kapasiti tambahan DC sehingga mencecah 1GW.
Dalam perkembangan lain, Malakoff Corporation Berhad dilihat firma penyelidikan tersebut sebagai mencatat prestasi di bawah jangkaan susulan ETR yang lebih tinggi daripada ramalan pada 2Q26.
"Justeru, kami mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 45%, namun kekal optimis terhadap pemulihan syarikat selepas rotor di Tanjung Bin Power, Johor kembali beroperasi," katanya.
Sementara itu jelas RHB Research, prestasi syarikat RE agak bercampur apabila Samaiden mengatasi unjuran, Solarvest menepati ramalan, manakala BM Greentech Berhad terjejas akibat margin lemah.
Sehubungan itu, firma berkenaan menaikkan unjuran pendapatan ke atas Samaiden bagi FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 23% dan 8% selepas mengambil kira andaian margin lebih tinggi selepas ini.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan pandangan yang positif terhadap sektor tenaga, dengan YTL Power dilihat sebagai antara penerima utama perkembangan peningkatan kapasiti DC terutamanya di Johor.
"TNB mendapat manfaat daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), manakala Samaiden dan Solarvest berpotensi meraih peluang daripada tender solar baharu," kata RHB Research. - DagangNews.com






