
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menjalankan siasatan berkaitan beberapa isu melibatkan kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd pada tahun 2023.
Siasatan tersebut merangkumi pelbagai isu termasuk pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang, di mana sejumlah RM42 juta dilaporkan telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).
SPRM menegaskan bahawa siasatan ini masih berjalan memandangkan kompleksiti kes yang melibatkan aspek teknikal serta menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
Selain itu, bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM juga akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri semalam.
SPRM menyambut baik keprihatinan serta ketegasan Perdana Menteri dalam usaha melihat dan menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim bin Aman, ketika dihubungi mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Beliau turut menegaskan bahawa SPRM akan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas dan adil.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalankan semakan terhadap tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings susulan kebimbangan berhubung kerugian dialami syarikat itu.
Tegas Perdana Menteri, semakan itu perlu dijalankan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dan Jabatan Perdana Menteri, yang akan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.
Isu itu dibangkitkan ketika menjawab soalan pelajar pada Himpunan Mesra Alumni UiTM yang mahu kerajaan dan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia menyemak pengurusan UiTM Holdings, yang didakwa mencatatkan kerugian lebih RM100 juta. – UTUSAN
The post Isu kerugian UiTM Holdings: SPRM sahkan mula siasat appeared first on Utusan Malaysia.






