Isu Konsert The Weeknd: “Islam Tak Boleh Kompromi Hal Dosa, Perlu Bersuara Walau Di Media Sosial” – UAI [Video]

LocalEntertainment
11 Nov 2026 • 2:01 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Isu Konsert The Weeknd: “Islam Tak Boleh Kompromi Hal Dosa, Perlu Bersuara Walau Di Media Sosial” – UAI [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Konsert jelajah After Hours Til Dawn oleh The Weeknd yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu telah mencetuskan kontroversi dan masih lagi hangat diperkatakan sehingga kini.

Ramai yang mendakwa terdapat unsur ritual dan penyembahan semasa konsert itu berlangsung yang mana kelihatan sekumpulan penari memakai kostum serba merah dan juga patung wanita gergasi berwarna emas yang berdiri megah di atas pentas.

Ramai penonton dilihat tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut, namun ramai juga berpendapat sebaliknya.

‘Agama Nombor 1, Tak Boleh Lebihkan Sukan, Hiburan Atau Seni Yang Langgar Batas Agama’ – UAI

Baru-baru ini, pendakwah bebas terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI) menerusi kuliah maghrib di Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kertih di Kemaman, Terengganu semalam (10 November) telah mengulas mengenai akidah dan peranan umat Islam dalam membendung maksiat serta kemungkaran yang bertentangan dengan ajaran agama.

Soalan: Isu patung emas gergasi, seni lawan akidah?

Jelas UAI, umat Islam perlu sentiasa menjadikan agama sebagai keutamaan dalam hidup.

“Agama nombor satu, benda lain tak boleh lebih dari agama atas nama sukan, hiburan, seni tak boleh langgar batas agama.

“Kita (umat Islam) tidak boleh sesekali kompromi dalam perkara dosa. Jangan kamu tolong dalam hal dosa. Dosa paling besar, syirik kepada Allah. Antara perkara syirik adalah mengagung-agungkan persembahan orang kafir dan patung-patung berhala,” kata beliau.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, namun pencerahan ini dipercayai merujuk kepada isu konsert The Weeknd yang menjadi perdebatan ramai pada ketika ini.

Gunakan Media Sosial Untuk Bersuara, Pihak Berkuasa Wajib Guna Kuasa Yang Ada Untuk Cegah Kemungkaran – UAI

Tambahnya, umat Islam wajib menegur walaupun hanya bersuara tentang isu terbabit di platform media sosial.

“Kita ada media sosial, gunakan media sosial. Satu kewajipan dari pihak agama atas kita yang melihat kemungkaran. Kalau kamu tengok benda tak betul berlaku dalam negara kita, maka kamu wajib guna kuasa kamu untuk cegah benda ini.

“Kalau kita tak ada kuasa, kita guna mulut atau (menerusi) penulisan-penulisan yang ada,” katanya.

‘Kalau Dalam Hati Tak Marah Lihat Patung Jadi Simbolik Hiburan, Tak Ada Lagi Iman’ – UAI

Jika seseorang itu tidak mempunyai akaun atau platform media sosial untuk bersuara mengenai kemungkaran tersebut, maka individu berkenaan perlu membenci di dalam hati, sebagai tanda menunjukkan bahawa dia mengecam perkata terbabit.

“Benci dalam hati, tidak tegur dengan penulisan dan suara. Iman yang paling lemah, kata Imam Ghazali.

“Kalau dalam hati pun tidak marah, patung-patung yang dijadikan simbolik dalam bab-bab hiburan kita tak rasa apa-apa dalam hati, tak ada lagi iman.

“Bayangkan orang yang ada autoriti, dapat gaji setiap bulan beribu-ribu, diamkan diri, tidak bersuara, ambil duit dari pemerintah, diupah dan sebagainya tapi diam sebab takut hilang punca pendapatan, gaji dan elaun, mereka ini ahli neraka yang makan api neraka siang dan malam,” jelasnya.

JAKIM Jalankan Siasatan Berhubung Dakwaan Terhadap Konsert The Weeknd Di Bukit Jalil

Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan pihaknya sedang berhubung rapat dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi mengesahkan kesahihan dakwaan serta pematuhan syarat persembahan konsert The Weeknd di Bukit Jalil.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya, serta ketenteraman awam.”

Umat Islam Hadiri Konsert The Weeknd Perlu Bertaubat Jika Ada Ritual Pemujaan – Mufti

Malah Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menasihati umat Islam yang menghadiri konsert tersebut agar segera bermuhasabah, beristighfar serta menunaikan solat sunat taubat jika mengetahui dan sengaja menyertai perbuatan yang bertentangan dengan akidah.

“Kehadiran seseorang semata-mata untuk menyaksikan persembahan hiburan tanpa mengetahui atau menyertai sebarang ritual pemujaan tidak menjadikan individu itu melakukan syirik atau terkeluar daripada Islam.

“Namun, bagi mereka (umat Islam) yang menghadiri konsert tersebut sangat digalakkan untuk bermuhasabah, beristighfar dan menunaikan solat sunat taubat.

“Bagi mereka yang benar-benar melakukan perkara yang diharamkan, taubat adalah wajib,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Mufti Pulau Pinang Jelas Umat Islam Hadiri Konsert The Weeknd Perlu Bertaubat Jika Ada Ritual Pemujaan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved