Isu peruntukan wakil rakyat: Pulau Pinang tunggu keputusan DAP Pusat

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 7:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu peruntukan wakil rakyat: Pulau Pinang tunggu keputusan DAP Pusat

BATU KAWAN : Kerajaan negeri akan menunggu keputusan daripada kepimpinan DAP di peringkat pusat berhubung cadangan menggubal undang-undang khas bagi menjamin pemberian peruntukan yang sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa sebarang diskriminasi politik.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam hal ini, beliau sendiri telah dihubungi oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Kepimpinan nasional akan memutuskan perkara itu. Jadi, kita tunggu sahaja keputusan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) antara tiga pihak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan kumpulan pendesak reformasi institusi, Projek SAMA yang mahu kerajaan Pulau Pinang dan Selangor menggubal undang-undang berkaitan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) kerana kedua-dua negeri mempunyai majoriti yang selesa untuk berbuat demikian.

Selain itu, Projek SAMA dalam kenyataannya menyebut, kedua-dua negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu juga berupaya melaksanakan perkara itu kerana mereka tidak berdepan dengan kekangan gabungan yang boleh merumitkan usaha reformasi pada peringkat Persekutuan.

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang sememangnya telah menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM60,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat pembangkang di negeri itu sejak beberapa tahun yang lalu manakala ADUN yang mewakili kerajaan pula menerima peruntukan sebanyak RM500,000 setahun.

Terdahulu, Gobind turut membangkitkan isu yang hampir sama dengan memfokuskan kepada peruntukan yang diterima oleh Ahli Parlimen ketika ini.

Jelas Gobind, kelulusan undang-undang berkaitan peruntukan itu akan menjamin ketelusan serta melindungi hak semua pengundi di seluruh negara secara kekal. 

Katanya, ia juga selaras dengan janji pilihan raya PH sebelum ini iaitu untuk memastikan peruntukan pembangunan yang saksama diberikan kepada semua Ahli Parlimen.-UTUSAN

The post Isu peruntukan wakil rakyat: Pulau Pinang tunggu keputusan DAP Pusat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved