Fokus habiskan penggal sebaik mungkin -Hannah Yeoh

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 6:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Fokus habiskan penggal sebaik mungkin -Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh mahu tempoh berbaki dalam Kerajaan Persekutuan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan reformasi dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat dalam Persidangan DAP 2026 perlu dihormati dan kini semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha menunaikan tanggungjawab sehingga tamat penggal.

“Keputusan telah pun dibuat oleh semua delegasi DAP yang hadir.

“Kita kena fokus untuk habiskan penggal ini sebaik yang mungkin dan berikan perkhidmatan yang bagus,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Town Hall YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Bersama Kanak-Kanak Kuala Lumpur di Perpustakaan Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, DAP membuat keputusan untuk kekal berada di dalam Kerajaan Persekutuan selepas majoriti perwakilan dalam Persidangan DAP 2026 mahu parti itu meneruskan usahanya melaksanakan janji reformasi sehingga tamat penggal.

Menurut Hannah, beliau mahu memberi tumpuan kepada usaha memajukan Wilayah Persekutuan selain melaksanakan pelbagai reformasi bersama penjawat awam yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

Katanya, tanggungjawab itu berat dan perlu ditunaikan sebaik mungkin sebelum tempoh pentadbiran berakhir.

“Ini saya rasa adalah tanggungjawab yang berat dan tanggungjawab ini saya nak tunaikan sebelum akhir penggal.

“Kerana kuasa ini bukan selama-lamanya, jadi bila ada kuasa dan ada masa untuk laksanakan, kita kena laksanakan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, antara tumpuan beliau sejak Disember lalu adalah memperbanyakkan reformasi dan perlindungan yang boleh dilaksanakan untuk warga Kuala Lumpur.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk pewartaan kawasan lapang dan kolam takungan banjir bagi memastikan kepentingan serta kesejahteraan warga kota terus terpelihara.

Beliau berkata, usaha menjadikan Kuala Lumpur lebih hijau juga antara hasrat yang banyak disuarakan rakyat, khususnya golongan muda dan komuniti pelari.

“Semua ini adalah hasrat rakyat, warga Kuala Lumpur. Kita boleh dengar daripada golongan muda sehingga golongan kelab pelari, semua nak Kuala Lumpur hijau.

“Ini akan jadi fokus utama kita dalam penyediaan bajet untuk tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, Program Town Hall YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Bersama Kanak-Kanak Kuala Lumpur memberi ruang kepada golongan berkenaan menyuarakan pandangan mereka mengenai pembangunan ibu negara.

Katanya, program anjuran bersama UNICEF dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu disertai kira-kira 100 kanak-kanak dari sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, kanak-kanak yang terlibat turut menjalankan audit di empat lokasi iaitu Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, River of Life dan Perpustakaan Kuala Lumpur.

“Mereka telah banyak memberikan cadangan kepada kita mengenai penanaman lebih banyak pokok kerana terlalu panas, tandas awam, tong sampah. Mereka mahu lebih banyak tong kitar semula dan laluan basikal.

“Semua cadangan ini kita akan kumpul dan yang boleh kita laksanakan, kita akan masukkan dalam persediaan bajet untuk tahun hadapan,” katanya.

Hannah berkata, pandangan kanak-kanak penting kerana perspektif mereka terhadap kemudahan awam dan aktiviti di Kuala Lumpur mungkin berbeza daripada golongan dewasa.

Katanya, kanak-kanak terbabit turut memberikan cadangan supaya lebih banyak kemudahan permainan disediakan kerana berpendapat kemudahan sedia ada lebih banyak memenuhi keperluan orang dewasa.

Malah, katanya, mereka turut mencadangkan supaya lirik lagu Negaraku dan Rukun Negara dipaparkan di kawasan awam sebagai usaha memperkenalkan identiti negara kepada pelancong.

“Semua idea ini agak menarik dan kita mesti pertimbangkan untuk tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN

The post Fokus habiskan penggal sebaik mungkin -Hannah Yeoh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved