Isu proklamasi perlu berlandaskan UUTKNS, bukan politik atau peribadi - MB

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 6:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu proklamasi perlu berlandaskan UUTKNS, bukan politik atau peribadi - MB
Ismail

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan bahawa isu Surat Cara Proklamasi yang didakwa mempunyai kesan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu dilihat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan prinsip Raja Berperlembagaan.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada Selasa memutuskan bahawa perkara itu bukan untuk dilihat sebagai persoalan politik ataupun peribadi.

Menurutnya, sebagai Menteri Besar, beliau juga tidak mempunyai kuasa ‘unilateral’ untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

“Kedudukan dan proses yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh UUTKNS.

“Sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan dan persoalan yang perlu ditentukan ialah sumber kuasa bagi proklamasi tersebut, apakah syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh UUTKNS dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, peruntukan perlembagaan menetapkan kerangka khusus berhubung tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk keperluan yang berkaitan dengan proses dan proklamasi.

Ujarnya, sememangnya Menteri Besar terlibat dalam proses yang ditetapkan oleh UUTKNS, namun itu tidak bermaksud beliau mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

“Sebaliknya, apabila Perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, peranan tersebut hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959.

“Isu ini bukan mengenai siapa mempunyai kuasa politik yang lebih besar. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Tambahnya, Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan oleh UUTKNS.

Justeru, kata Ismail, isu yang wajar ditentukan ialah sumber kuasa perlembagaan bagi proklamasi tersebut serta syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh UUTKNS.

“Adakah kesemua syarat serta prosedur tersebut telah dipatuhi sehingga proklamasi tersebut mempunyai kesan undang-undang seperti yang didakwa?

“Persoalan sebesar ini hendaklah diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang,” katanya.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu sekali lagi menegaskan bahawa selaku Menteri Besar, beliau menghormati sepenuhnya Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan UUTKNS.

Tambahnya, perkara yang perlu dipertahankan bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan Institusi Raja Berperlembagaan.

“Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas, proses perlembagaan mesti dihormati dan institusi mesti dipelihara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved