Menteri Besar tiada kuasa unilateral tamatkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 7:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Menteri Besar tiada kuasa unilateral tamatkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

SEREMBAN – Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, kata Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan hari ini menegaskan kedudukan serta proses berkaitan Yang Dipertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan prinsip Raja Berperlembagaan bukan sebagai persoalan politik atau peribadi.

“Sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan, persoalan yang perlu ditentukan adalah apakah sumber kuasa bagi proklamasi tersebut? apakah syarat dan prosedur ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh? dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, peruntukan perlembagaan menetapkan kerangka khusus berhubung tindakan terhadap kedudukan Yang Dipertuan Besar, termasuk keperluan yang berkaitan dengan proses proklamasi.

Ismail berkata, penglibatan Menteri Besar dalam proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh tidak bermaksud Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang Dipertuan Besar sebaliknya apabila perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, perkara itu hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959.

Katanya, isu itu bukan mengenai pihak yang mempunyai kuasa politik yang lebih besar sebaliknya dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan perlembagaan dan undang-undang, Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh

“Isu utama ialah kesahan dan kesan undang-undang proklamasi tersebut maka isu yang wajar ditentukan ialah sumber kuasa perlembagaan bagi proklamasi, syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh UUTKNS 1959 dan adakah kesemua syarat serta prosedur tersebut dipatuhi? sehingga proklamasi tersebut mempunyai kesan undang-undang seperti didakwa,” katanya.

Beliau berkata, persoalan sebesar itu hendaklah diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang.

“Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang Dipertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Perkara yang perlu dipertahankan adalah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved