Tanah runtuh: Empat rumah terpaksa dikosongkan sebagai langkah keselamatan

30 Oct 2026 • 2:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tanah runtuh: Empat rumah terpaksa dikosongkan sebagai langkah keselamatan

GEORGE TOWN : Empat buah rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini minggu lepas telah diarah untuk dikosongkan buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan susulan tragedi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, notis pengosongan itu sudah dikeluarkan kepada penduduk yang terlibat sementara menunggu hasil perbincangan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Isnin ini, kita akan adakan mesyuarat dengan JKKP. Jadi, buat sementara waktu ada empat rumah perlu dikosongkan. Kita akan beri makluman lanjut selepas mesyuarat tersebut (dengan JKKP),” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.36 pagi itu, mangsa, Dr. Wong Kar Lin, 73, maut selepas dijumpai tertimbus dalam runtuhan yang menjejaskan kediamannya. Bagaimanapun, isteri mendiang, Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, yang berusia dalam lingkungan 80-an, berjaya menyelamatkan diri.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, JKKP sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian sehari selepas insiden tanah runtuh itu berlaku bagi mengenal pasti punca tragedi tersebut.

“Pihak JKKP juga dijangka memanggil semua pihak berkaitan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian sebelum menentukan tindakan sewajarnya yang perlu diambil sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kegagalan untuk mematuhi peraturan.

“Jika keadaan itu berlaku, maka, tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan akta berkaitan. Bagaimanapun, buat masa ini, kita perlu menunggu hasil siasatan penuh JKKP terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai punca kejadian atau kemungkinan wujudnya kecuaian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye berkata, pihak pemaju juga sudah diminta untuk melaksanakan langkah mitigasi segera bagi mengurangkan risiko berulangnya kejadian tanah runtuh khususnya ketika hujan lebat.

Katanya, antara langkah yang diambil termasuk menutup bahagian cerun terdedah menggunakan geotekstil bagi mengurangkan kemasukan air hujan ke dalam tanah, menyediakan sistem pam dan saluran paip untuk mengalirkan air dari kawasan atas bukit ke longkang terbuka bagi mengelakkan air daripada bertakung atau melimpah ke kawasan cerun berdekatan.-UTUSAN

The post Tanah runtuh: Empat rumah terpaksa dikosongkan sebagai langkah keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved