Kerajaan Perlis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memberikan penjelasan menyeluruh berhubung tindakan merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar pada 20 Ogos lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perlis, Danial Suhaimi berkata, penjelasan itu perlu merangkumi perkara berkaitan status tanah, kelulusan pembinaan, notis pengosongan serta prosedur penguatkuasaan yang dilaksanakan.

Foto: Media sosial
Katanya, pendedahan secara terperinci penting supaya orang ramai memperoleh maklumat yang sahih dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan spekulasi atau sumber yang tidak dapat disahkan.
“Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, setiap pihak perlu menghormati proses dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Pada masa sama, penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara adil, telus, konsisten dan tanpa diskriminasi, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto: FB Danial Suhaimi
Danial berkata, sebarang persoalan berkaitan pemilikan atau status tanah, kelulusan pembinaan dan kemungkinan pelanggaran syarat sewajarnya diselesaikan mengikut prosedur pentadbiran serta saluran undang-undang yang tersedia.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak yang mempunyai kepentingan dalam perkara itu perlu diberikan ruang untuk mendapatkan penjelasan dan mencari penyelesaian secara baik.

Foto: FB Danial Suhaimi
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan isu berkenaan untuk mencetuskan ketegangan atau memainkan sentimen berkaitan kaum dan agama.
“Apa jua perbezaan pandangan perlu disuarakan secara matang, bertanggungjawab dan berada di dalam kerangka undang-undang.
“Kita mungkin berbeza dari segi agama, kaum dan pandangan politik, namun kita berkongsi satu negeri dan satu tanggungjawab untuk memastikan keamanan, keharmonian serta perpaduan masyarakat Perlis terus terpelihara,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro (Noor Sara Mohamad Hanif)






