Isu sensitif agama: Ketegasan mahkamah penting kekang provokasi

LocalPolitics
20 Mar 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Amir Abdul Malik mengaku bersalah atas pertuduhan mencemari agama Islam dengan memuat naik rakaman dirinya memijak al-Quran, dengan niat menghina agama tersebut di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah.

AGAMA merupakan garis panduan penting dalam kehidupan yang membentuk nilai, etika serta identiti individu dan masyarakat.

Dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama, sensitiviti terhadap perkara itu menjadi asas kepada kestabilan serta keharmonian sosial.

Justeru, hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Majistret terhadap seorang lelaki kerana perbuatan memijak al-Quran pada Khamis dilihat sebagai satu ketegasan penting dalam mempertahankan kesucian agama dan menjaga ketenteraman awam.

Majistret Dr Teoh Shu Yee membuat keputusan berkenaan selepas Amir Abdul Malik, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan mencemari agama Islam dengan memuat naik rakaman dirinya memijak al-Quran, dengan niat menghina agama tersebut di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah pada 28 Februari lepas.

Keputusan tersebut bukan sekadar menjawab kesalahan individu, tetapi turut membawa mesej besar kepada masyarakat bahawa penghinaan terhadap agama tidak akan dikompromi.

Bagi umat Islam, al-Quran merupakan panduan hidup mempunyai kedudukan tinggi dalam jiwa setiap penganutnya.

Tindakan menghina kitab tersebut boleh mencetuskan emosi mendalam termasuk kemarahan dan kekecewaan, sekali gus berpotensi menimbulkan ketegangan dalam masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan tegas.

Lebih membimbangkan, perbuatan tersebut dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi ruang untuk meningkatkan keimanan dan memperkukuh nilai-nilai kebaikan.

Dalam hal ini, hukuman dikenakan boleh dilihat sebagai satu bentuk keadilan yang memberi kelegaan kepada masyarakat Islam.

Ia juga berfungsi sebagai peringatan keras kepada mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyentuh isu sensitif berkaitan agama, apatah lagi dalam era media sosial yang mempercepatkan penyebaran sesuatu kandungan.

Dalam masa sama, tindakan pantas pihak pendakwaan dan mahkamah dalam mengendalikan kes berkenaan memperlihatkan kecekapan sistem perundangan negara dalam menangani isu sensitif.

Ia secara tidak langsung meningkatkan keyakinan rakyat bahawa undang-undang sedia ada mampu melindungi keharmonian masyarakat daripada sebarang ancaman provokasi.

Bagaimanapun, pendekatan berasaskan hukuman semata-mata tidak mencukupi.

Meskipun hukuman dijatuhkan mampu memberi kesan pencegahan dan menenangkan keadaan, isu tersebut dibimbangi akan terus berlarutan sekiranya tiada tindakan bersepadu dan berterusan daripada pihak berwajib termasuk dalam aspek penguatkuasaan, pendidikan serta pemantauan.