Isu ternakan babi: Pas Selangor buat 10 laporan, gesa polis ambil tindakan tegas

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 4:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu ternakan babi: Pas Selangor buat 10 laporan, gesa polis ambil tindakan tegas
Mohamed Sukri (tengah) menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan permohonan maaf kepada wakil ADUN Seri Kembangan, Tey Boon Kiat di Serdang pada Jumaat

SERDANG – Pas Selangor telah membuat 10 laporan polis setakat Jumaat susulan kontroversi melibatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung cadangkan penternakan babi secara moden di negeri ini.

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar berkata, laporan tersebut dibuat oleh kawasan Pas seluruh negeri dan jumlah itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

"Tindakan ini diambil susulan kenyataan Siew Ki yang menimbulkan semula polemik telah diselesaikan dan diputuskan oleh Sultan Selangor.

"Oleh itu kita mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap isu berkenaan.

"Kalau isu melibatkan 3R, biasanya tindakan pantas diambil. Jadi kita mahu tindakan yang sama dilaksanakan dalam kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan permohonan maaf di Pejabat ADUN Seri Kembangan di sini pada Jumaat.

Pada Rabu, Siew Ki dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memohon pertimbangan supaya penternakan babi dibenarkan di negeri itu.

Menurutnya, isu berkenaan menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu Mohamed Sukri menegaskan, ADUN Seri Kembangan perlu menghentikan polemik berkenaan dan mematuhi titah Sultan Selangor yang sebelum ini telah memperincikan pendirian terhadap isu tersebut.

Malah menurutnya, tindakan membangkitkan semula cadangan berkaitan termasuk pembinaan ladang babi moden di kawasan sensitif seperti berhampiran loji rawatan air dan kawasan majoriti Islam adalah tidak wajar.

"Kita tidak menghalang soal pemakanan individu, tetapi bantahan ini kerana isu yang telah selesai dibangkitkan semula, sedangkan ia sudah dinoktahkan oleh Tuanku Sultan.

"Sepatutnya sebagai wakil rakyat, beliau perlu menghormati institusi beraja dan tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat," tegasnya.

Beliau turut memaklumkan, memorandum diserahkan sebagai suara rakyat yang mahu wakil rakyat berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan masyarakat.

Tambahnya, kerajaan negeri seharusnya memberi keutamaan kepada isu lebih mendesak seperti banjir dan kebajikan rakyat berbanding membangkitkan perkara yang tidak memberi manfaat menyeluruh.

"Kita juga menuntut ADUN Seri Kembangan memohon maaf kerana mencetuskan kemarahan rakyat di Selangor," ujarnya.