Ternakan babi moden: ADUN Seri Kembangan didesak tarik balik kenyataan

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 8:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ternakan babi moden: ADUN Seri Kembangan didesak tarik balik kenyataan
Mohd Imran

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Selangor menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menarik semula kandungan ucapan perbahasannya pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, gesaan itu dibuat susulan kenyataan wakil rakyat itu yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan penternakan babi sehingga mengundang kontroversi.

Menurutnya, konteks ucapan perbahasan ADUN terbabit pada sesi pagi Rabu itu disifatkan sebagai tidak wajar, selain didakwa gagal memahami kedudukan undang-undang termasuk peranan institusi diraja negeri.

"Pemuda UMNO Selangor mengecam tegas hujahan yang dibangkitkan termasuk perbandingan berkaitan kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang dilihat meleset daripada konteks sebenar.

"Malah, kenyataan itu juga seolah-olah mencabar serta mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Imran berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang disampaikan ketika Istiadat Pembukaan Persidangan DUN pada Isnin lalu yang antara lain menyentuh pelbagai aspek pembangunan serta kepentingan rakyat negeri ini.

Menurutnya, titah itu secara jelas menyatakan pendirian baginda berhubung isu penternakan babi yang tidak sesuai dilaksanakan di Selangor.

"Tindakan membangkitkan semula isu itu dalam perbahasan Menjunjung Kasih dilihat tidak bertanggungjawab dan boleh menyinggung institusi diraja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda UMNO Selangor turut mengambil maklum keputusan kerajaan negeri sebelum ini selaras dengan titah Sultan Selangor termasuk pembatalan projek ternakan babi di Bukit Tagar serta penamatan lesen berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya menegaskan Siew Ki perlu segera menarik balik kenyataan berkenaan.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, kami percaya beliau wajar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN selaras dengan Peraturan Tetap 70(3), selain dikenakan tindakan sewajarnya.

"Perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negeri yang bernaung di bawah institusi Raja Melayu yang dijamin peranannya oleh Perlembagaan," tambah beliau.

Terdahulu, Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

View Original Article