
SERDANG: Kehadiran ibu di tepi trek menjadi pembakar semangat buat Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif apabila melebur rekod 110 meter (m) berpagar lelaki untuk meraih pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, semalam.
Pelari Terengganu itu menampilkan larian bertenaga di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mencatat 13.66 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod kejohanan yang hanya bertahan beberapa jam selepas dipecahkan Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau pada separuh akhir.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Armin tewas kepada Hazriq dalam saingan separuh akhir apabila pelari Johor berkenaan merekodkan 13.78s, manakala Armin mencatat 13.81s.
Namun, pemegang rekod kebangsaan itu bangkit pada perlumbaan penentuan untuk mengatasi Hazriq yang terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 13.83s.
Muhammad Ruzki A’limi Mohd Zahizal dari Wilayah Persekutuan melengkapkan podium selepas meraih gangsa dengan masa 13.96s.
Bagi Armin, kejayaan tersebut turut mempunyai nilai sentimental apabila ibunya hadir menyaksikan perlumbaan, berbeza ketika dia memenangi emas pada edisi Sukma dua tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya dapat lari 110 meter dengan pingat emas. Saya sangat bersyukur, terutamanya kepada ibu saya yang datang. Kehadiran ibu di venue memberikan suntikan semangat tambahan untuk memberikan persembahan terbaik.” katanya.
Armin turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Olahraga Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu, warga olahraga serta rakyat Terengganu dan Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kejayaannya.
Kemenangan Armin juga menyaksikan rekod Sukma 110m berpagar lelaki milik bekas atlet kebangsaan Sabah, Rayzam Shah Wan Sofian yang bertahan 18 tahun, akhirnya dipecahkan dua kali dalam tempoh beberapa jam.
Rayzam sebelum ini merekodkan 14.10s pada Sukma Terengganu 2008 sebelum Hazriq memperbaharuinya kepada 13.78s pada separuh akhir, disusuli Armin dengan catatan lebih pantas 13.66s di final.-UTUSAN
The post Ibu bakar semangat Armin cipta rekod SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.




