hamden11/08/2026 - 12:40 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos - Projek Bandar Pintar Kota Kinabalu bernilai RM134 juta yang diperoleh ITMAX System Bhd berpotensi membuka ruang kepada kontrak perkhidmatan terurus jangka panjang sehingga 15 hingga 20 tahun selepas tempoh projek awal selesai, sekali gus memperkukuh prospek pendapatan berulang kumpulan itu.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, potensi perjanjian jangka panjang bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjadi antara faktor yang meningkatkan daya tarikan projek berkenaan, selain manfaat daripada kontrak lampu jalan pintar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang baru diperoleh.
“Selepas tempoh kontrak awal, kami melihat ruang untuk ITMAX mendapatkan perjanjian perkhidmatan terurus jangka panjang dengan DBKK, berpotensi untuk tempoh 15 hingga 20 tahun selepas projek selesai,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut HLIB, projek bandar pintar Kota Kinabalu melibatkan pembangunan pusat arahan operasi rangkaian serta kira-kira 1,500 kamera televisyen litar tertutup (CCTV), dengan hasil aktiviti bekalan dan pemasangan diiktiraf dalam tempoh dua tahun pertama, diikuti lima tahun perkhidmatan terurus.
Gabungan projek Kota Kinabalu dan kontrak lampu jalan pintar DBKL dijangka meningkatkan kadar hasil tahunan segmen bekalan dan pemasangan ITMAX kepada sekitar RM80 juta hingga RM100 juta, berdasarkan anggaran HLIB.
Mengukuhkan Kedudukan Kumpulan
Pada masa sama, firma penyelidikan itu melihat pengembangan ITMAX ke Sabah, Johor dan Pulau Pinang, selain pasaran tradisinya di Kuala Lumpur, sebagai perkembangan yang mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam penyelesaian bandar pintar.
HLIB berkata, Selangor pula berpotensi menjadi pasaran pertumbuhan seterusnya untuk ITMAX, dengan kontrak CCTV berpotensi dibuka untuk tender pada 2027 hingga 2028 susulan pemberian SIP Fasa 2.
“Sebagai pengendali SIP Fasa 1, ITMAX mempunyai kelebihan dalam menunjukkan keberkesanan penyelesaiannya.
“Lebih penting lagi, sebahagian CCTV yang dipasang bagi tujuan penguatkuasaan pembayaran parkir di bawah Fasa 1 turut boleh menyokong fungsi pemantauan yang lebih luas, sekali gus memberikan ITMAX asas infrastruktur sedia ada dan kelebihan berpotensi ketika membida kontrak CCTV Selangor,” katanya.
Sementara itu, Pulau Pinang turut dilihat sebagai pasaran pertumbuhan baharu selepas pihak berkuasa tempatan memberikan kontrak kepada ITMAX bagi menggantikan sepenuhnya kira-kira 1,000 CCTV sedia ada.
Dalam jangka panjang, HLIB menjangkakan ITMAX berpotensi mengewangkan infrastruktur yang telah dibangunkan menerusi aplikasi bandar pintar bernilai tambah seperti kembar digital (*digital twins*), penilaian impak trafik serta analitik.
Menurut firma itu, langkah berkenaan berpotensi mengukuhkan peranan ITMAX sebagai antara pemudah cara utama dalam transformasi digital bandar, selain membuka sumber pendapatan baharu di luar kontrak infrastruktur asas.
Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap ITMAX dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6 sesaham. - DagangNews.com






