Inta Bina raih kontrak RM116 juta bina projek perumahan KL East daripada Sime Darby Property

10 Aug 2026 • 6:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Inta Bina raih kontrak RM116 juta bina projek perumahan KL East daripada Sime Darby Property Image from: Inta Bina raih kontrak RM116 juta bina projek perumahan KL East daripada Sime Darby Property liza10/08/2026 - 18:24 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Inta Bina Group Berhad meraih kontrak bernilai RM115.65 juta daripada Sime Darby Property (KL East) Sdn Bhd untuk membina 61 unit rumah teres tiga tingkat dan sebuah pencawang elektrik di pembangunan KL East, Kuala Lumpur.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Inta Bina berkata tempoh pelaksanaan selama 30 bulan, bermula 24 Ogos 2026 dan dijadualkan siap serta diserahkan kepada Sime Darby Property (KL East) pada 23 Februari 2029.

 

“Projek berkenaan melibatkan pembangunan kediaman bertanah di KL East, sebuah kawasan pertumbuhan bandar yang terletak berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan mempunyai akses yang baik dengan kawasan sekitar Kuala Lumpur.

 

“Kontrak tersebut mencerminkan permintaan berterusan terhadap pembangunan kediaman berkualiti di lokasi yang sudah mempunyai kemudahan dan rangkaian perhubungan yang baik, selain mengukuhkan kehadiran kumpulan itu dalam pasaran pembinaan di Lembah Klang,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Inta Bina Group Berhad, Paul Lim berkata, pihaknya berbesar hati menerima kontrak itu daripada Sime Darby Property yang merupakan rakan kongsi lama kumpulan tersebut, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pemaju berkenaan terhadap keupayaan Inta Bina melaksanakan projek berkualiti dengan selamat dan mengikut jadual.

 

Kontrak Baharu Kukuhkan Buku Tempahan Inta Bina

Beliau berkata, Inta Bina komited memenuhi jangkaan Sime Darby Property dari segi keselamatan, selain memastikan projek itu dilaksanakan dengan mengutamakan kualiti, disiplin dan kecekapan pelaksanaan.

 

Kontrak bernilai RM115.65 juta itu meningkatkan buku tempahan tertunggak Inta Bina kepada kira-kira RM1.7 bilion yang memberikan kumpulan tersebut tahap keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh bagi tempoh akan datang.

 

Pada masa sama, kontrak terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kontrak yang diperoleh Inta Bina sepanjang 2026 sebanyak RM424 juta, menunjukkan momentum perolehan projek kumpulan itu kekal positif dalam tahun semasa.

 

Inta Bina turut mempunyai saluran tender yang kukuh dengan kira-kira RM3.3 bilion nilai tender yang telah dikemukakan kepada pelanggan dan masih menunggu keputusan, termasuk tender yang dibawa daripada tahun lalu.

 

Lim berkata, kumpulan itu optimistik peluang berkenaan akan menyokong pertumbuhan perniagaan dan pendapatan Inta Bina pada masa hadapan, susulan kedudukan buku pesanan yang kukuh serta prospek kontrak baharu yang masih dalam penilaian pelanggan.

 

Projek Perlu Capai Skor QLASSIC Minimum 85%

Selain nilai kontrak, Surat Anugerah itu turut menetapkan projek berkenaan perlu mematuhi Sistem Penilaian Kualiti Kerja Pembinaan (QLASSIC) berdasarkan CIS 7:2021 yang ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), atau semakan terbaharunya.

 

Projek itu perlu mencapai skor minimum 85% bagi komponen kerja yang berkaitan di bawah kontrak, mencerminkan penekanan terhadap kualiti kerja pembinaan selain aspek keselamatan dan tempoh siap projek. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved