Jawatan saya TPM tentukan, bukan AMK – Asyraf Wajdi

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 1:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jawatan saya TPM tentukan, bukan AMK – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – “Kalau Menteri KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) minta saya berhenti, saya berhenti, tetapi bukan atas desakan AMK (Angkatan Muda Keadilan).”

Demikian tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung desakan AMK supaya beliau melepaskan jawatannya.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kedudukannya sebagai Pengerusi Mara adalah atas lantikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dilantik oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW. Saya hanya menurut sahaja, kalau Menteri KKDW minta untuk saya berhenti, saya berhenti, tetapi bukan atas desakan AMK mahupun Parti Keadilan Rakyat.

“Pertama sekali, saya menjaga amanah parti, amanah untuk menjaga maruah institusi yang lahir daripada rahim UMNO sendiri. Ini adalah institusi orang Melayu dan Bumiputera,” katanya pada sidang akhbar khas menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Auditorium UMNO di sini, hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, sepanjang tiga tahun menerajui Mara, beliau memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan agenda pendidikan dan keusahawanan Melayu serta memperkemaskan tadbir urus institusi berkenaan.

Katanya, beliau akan terus mempertahankan MARA sekiranya terdapat usaha yang boleh merosakkan reputasi institusi tersebut.

“Ini bukan soal Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Ini soal institusi MARA yang merupakan institusi amanah orang Melayu. Jadi, saya kira yang selayaknya menentukan sama ada saya patut berhenti atau tidak adalah Timbalan Perdana Menteri yang merupakan Menteri KKDW kerana MARA merupakan agensi di bawah kementerian itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak cubaan mengaitkan dirinya dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.

“Isu RCI Tabung Haji pun tidak ada relevannya kerana tidak ada pun disebut nama saya dalam laporan tersebut dan saya juga tidak pernah dikaitkan dengan isu Tabung Haji. Ia hanya mainan persepsi pihak yang mahu merobek reputasi dan imej institusi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Jawatan saya TPM tentukan, bukan AMK – Asyraf Wajdi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved