Saya akan letak jawatan Mara jika TPM suruh – Asyraf Wajdi

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 1:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Saya akan letak jawatan Mara jika TPM suruh – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bersedia meletakkan jawatan sekiranya diminta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan dikaitkan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi Mara adalah atas keputusan Ahmad Zahid selaku Menteri KKDW yang bertanggungjawab terhadap agensi berkenaan.

“Saya dilantik oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Saya hanya menurut sahaja. Kalau misalnya Menteri KKDW minta untuk saya berhenti, saya berhenti.

“Tapi bukan atas desakan AMK (Angkatan Muda Keadilan), Parti Keadilan kerana pertama sekali saya ini menjaga amanah parti. Amanah parti untuk menjaga Mara yang lahir daripada rahim UMNO itu sendiri. Ini adalah institusi orang Melayu dan Bumiputera,” katanya pada sidang media khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini hari ini.

Menurutnya, kedudukan beliau sebagai Pengerusi Mara bukan soal peribadi, sebaliknya berkaitan tanggungjawab mempertahankan institusi yang diwujudkan untuk kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

“Ini bukan soal Dr. Asyraf Wajdi, ini soal institusi Mara. Ia merupakan institusi amanah orang Melayu yang dipertanggungjawabkan oleh kepemimpinan UMNO yang melahirkan MARA itu sendiri pada 1966 di Perhimpunan Agung UMNO.

“Jadi saya kira yang hanya selayaknya menentukan sama ada saya patut berhenti atau tidak adalah Datuk Seri Timbalan Perdana Menteri yang merupakan Menteri KKDW yang menjaga agensi, yang bertanggungjawab di bawah KKDW iaitu MARA,” katanya.

Mengulas isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, beliau berkata perkara itu tidak mempunyai kaitan dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Mara.

“Soal RCI Tabung Haji pun tak ada relevannya kerana tak ada pun sebut nama saya dalam RCI Tabung Haji.

“Saya pun tidak pernah dikaitkan dengan isu Tabung Haji dan sebagainya, hanya kerana permainan persepsi puak-puak yang mahu merobek reputasi dan imej institusi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata sepanjang hampir tiga tahun menerajui MARA, beliau telah meletakkan asas penting bagi memastikan agenda pendidikan dan keusahawanan orang Melayu terus diperkasakan.

“Sepanjang tiga tahun ini, saya meletakkan asas penting untuk memastikan agenda pendidikan, keusahawanan orang Melayu ini terpelihara dan dapat kita perkasakan.

“Soal tadbir urus institusi yang kita kemas kini supaya saya bukan lama pun di Mara ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara paling penting adalah memastikan institusi berkenaan terus dipertahankan dan tidak terjejas akibat usaha yang boleh menjejaskan reputasinya.

“Maknanya yang paling penting institusi ini akan terus tetap dipertahankan. Jangan ada usaha-usaha untuk merobek reputasinya dan unsur-unsur luar yang sengaja nak melihat institusi orang Melayu ini jatuh.

“Sebab itu yang paling penting dan mustahak sekali ialah kalau ada agenda-agenda yang sekadar untuk menjatuhkan institusi ini, saya kira saya mewakili parti UMNO akan terus mempertahankannya kerana ini adalah amanah,” katanya. – UTUSAN

The post Saya akan letak jawatan Mara jika TPM suruh – Asyraf Wajdi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved