IWK raikan komuniti, sokong peniaga melalui Karnival Ramadan

13 Mar 2026 • 12:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Syarikat pembentungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menganjurkan majlis berbuka puasa bersama komuniti setempat dan peniaga kecil sebagai usaha mengeratkan hubungan serta menyemai nilai kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.

Acara berkenaan merupakan antara aktiviti yang dijalankan dalam program tanggungjawab sosial korporat syarikat yang dinamakan Sahabat Istimewa IWK.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, inisiatif itu bukan sahaja memastikan pengunjung atau komuniti setempat dapat berkongsi juadah berbuka puasa malah membantu meningkatkan sumber pendapatan peniaga kecil.

Menurut beliau, dalam ketidaktentuan geopolitik global, pihaknya bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki bersama rakan-rakan daripada kumpulan kurang upaya dan komuniti setempat.

"Saya juga difahamkan bahawa Ramadan mengingatkan kita, yang iftar bukan sekadar untuk menjamu selera tetapi juga tentang keberkatan, perkongsian, keprihatinan dan mengukuhkan semangat kekitaan.

“Kami berbesar hati dapat meraikan semangat ini bersama Sahabat Istimewa kami dan komuniti di sekitar kawasan ini, dengan berkongsi duit raya, juadah berbuka dan pek makanan bagi membantu para peniaga,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau menyampaikan duit raya kepada para tetamu dan mengunjungi peniaga kecil di Karnival Ramadan IWK yang bertempat di IWK Eco Park.

Dalam masa sama, Fadillah bersama pasukan pengurusan IWK turut mengagihkan 500 pek juadah berbuka puasa kepada komuniti setempat.

Juadah tersebut dibeli terus daripada peniaga yang menyertai Karnival Ramadan IWK.

Antara tetamu yang hadir ialah wakil daripada beberapa badan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Kebangsaan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM), Persatuan OKU Sentral, Persatuan Kebajikan Ahsana KL (PKAKL) dan National Autism Society of Malaysia (NASOM).

Selain itu, Yayasan Chow Kit (YCK), ahli komuniti setempat serta peniaga bazar turut memeriahkan program.