
GANJARAN bernilai RM20,000 kini menjadi milik pelumba e-racing negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira selepas kejayaannya menghadiahkan pingat emas pertama buat kem e-Sukan Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Kejayaan bersejarah itu diraih Taj Izrin menerusi acara Gran Turismo 7 di Aichi Sky Expo, sekali gus menyaksikan impian Malaysia untuk meraih emas pertama dalam sejarah penyertaan e-sukan di Sukan Asia menjadi kenyataan.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin, mengesahkan pihaknya akan menunaikan janji untuk memberikan imbuhan RM20,000 kepada pasukan yang berjaya meraih emas pada temasya kali ini.
“Tahniah kepada Taj Izrin Aiman dan juga jurulatih, Alex Yoong, yang telah membawa pulang pingat emas pertama untuk e-sukan di Aichi-Nagoya. Sudah tentu sebagai tanda terima kasih daripada kami semua, ganjaran RM20,000 seperti yang telah kita maklumkan sebelum ini akan kita tunaikan. Terima kasih dan tahniah,” katanya.
Kejayaan Taj Izrin, 27, hadir menerusi aksi penuh disiplin dan tenang sepanjang tiga perlumbaan sebelum mengumpul keseluruhan 36 mata untuk muncul juara keseluruhan di Sukan Asia.
Pada Perlumbaan 1, Taj Izrin membuka saingan dengan menamatkan perlumbaan di tempat kedua menerusi catatan 14 minit 36.103 saat (s), manakala wakil tuan rumah, Ryota Kokubun, muncul juara.
Taj Izrin sekali lagi menaiki podium pada Perlumbaan 2 apabila menduduki tempat kedua selepas ketinggalan hanya 0.054 saat kepada pelumba Korea Selatan, Kim Young Chan, dalam saingan sengit membabitkan tiga pelumba bersama Kokubun sekali gus mengumpul 16 mata dan terikat dengan Kokubun, sekali gus menjadikan Perlumbaan 3 sebagai penentu kejuaraan.
Memasuki perlumbaan terakhir, Taj Izrin tampil lebih tenang dan bijak mengatur strategi dalam saingan 17 pusingan apabila menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan masa 25 minit 07.185 saat.
The post Sukan Asia: Taj Izrin bakal terima ‘durian runtuh’ appeared first on Kosmo Online.






