
Jabatan Perhilitan Perjelas Isu Pemotongan Gading Gajah Di Zoo Jepun
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memantau maklum balas masyarakat berkenaan kebajikan Gajah Asia yang dihantar ke Zoo Tennoji di Osaka (ZTO), Jepun.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi jabatan berkenaan, Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS) telah menghantar tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat.
Jabatan Perhilitan memperjelas isu tular mengenai rawatan gading seekor gajah bernama Kelat yang merupakan prosedur pengurusan veterinar berasaskan kepada penilaian klinikal serta pengurusan konservasi pakar.
Prosedur berkenaan dilaksanakan bagi mengutamakan kebajikan gajah tersebut.
“Kerosakan gading Kelat telah dikenal pasti pada sebelah kiri manakala pemotongan gading (tusk trimming) pada sebelah kanan dilakukan sebagai langkah pengimbangan (balancing) bagi mengelakkan ketidakseimbangan struktur yang boleh memberi tekanan kepada bahagian kepala dan rahang,” jelas jabatan itu.
Spesies Baharu Ditemui, Ini 3 Fakta Menarik Tentang "Peltidium Penyu"
Macam Mana Rupa Bangau Kalau Jadi Dinosaur?
Ini Keadaan Sebenar Dalam Kapal Angkasa Orion
Ekonomi Makin Parah, Anak Bersekolah Bertambah, Ini Idea Bernas Untuk “Prepare” Dari Sekarang
Mengulas lanjut, Jabatan Perhilitan memaklumkan bahawa keadaan tersebut boleh mengakibatkan ketidakselesaan serta meningkatkan risiko kecederaan terhadap Kelat.
Keadaan itu juga berkemungkinan menjejaskan tingkah laku semula jadi gajah berkenaan seperti pergerakan, pemakanan dan interaksi sosial.
“Justeru, langkah rawatan dan pencegahan ini dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup jangka panjang Kelat,” tambahnya.
Jabatan itu turut menerangkan bahawa langkah itu selaras dengan amalan kebajikan haiwan dan piawaian veterinar yang diiktiraf.
“Prosedur ini telah dilaksanakan secara terkawal dengan menggunakan pendekatan yang meminimumkan tekanan fisiologi kepada hidupan liar,” ujarnya lagi.
Susulan itu, pihak jabatan juga menjamin pemantauan berterusan dijalankan dalam memastikan pemulihan optimum dan kesejahteraan jangka panjang Kelat sentiasa terjaga.
“Jabatan Perhilitan bekerjasama dengan ZTNS dan ZTO dalam memantau keadaan Kelat serta Dara dan Amoi,” maklum kenyataan tersebut.

