Kota Kinabalu: Dakwaan oleh portal media bahawa pekerja Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) dihalau oleh Kerajaan Negeri Sabah adalah palsu dan langsung tidak berasas, kata Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah Bernard Liew Chau Min.
Beliau berkata susulan kerajaan negeri mengambil semula tanah yang diberikan kepada SFI, prosedur piawaian bagi kerajaan negeri adalah untuk memberikan notis kerajaan kepada SFI tentang pengambilan semula itu seterusnya memiliki dan mengawal tanah berkenaan.
Liew menjelaskan pekerja dan kakitangan am SFI yang masih tinggal di dalam premis di kawasan itu masih boleh kekal berada di sana dan akan diserap semula sebagai pekerja sekiranya mereka mahu, di bawah skim kerajaan negeri untuk pembangunan hutan balak yang mampan.


