liza30/09/2026 - 11:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept – JAC akan memulakan pemasangan tempatan trak pikap PHEV petrol dan kenderaan elektrik bateri (BEV) di Malaysia mulai November 2026 yang akan menjadikan kedua-dua model itu sebagai trak pikap PHEV dan BEV pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) di negara ini.
Kerjasama itu dimeterai antara Evolvelectric Motors Sdn Bhd, pengedar trak pikap JAC di Malaysia dengan FT Assembly Sdn Bhd (FTA), anak syarikat milik penuh Feytech Holdings Berhad (Feytech), bagi memasang model JAC T9 Diesel, T9 PHEV petrol dan T9 BEV secara CKD.
Program pemasangan secara berperingkat itu akan dimulakan dengan T9 PHEV petrol pada November 2026, diikuti T9 Diesel dan seterusnya T9 BEV yang disasarkan bermula pada Januari 2027.
Kemudahan pemasangan JAC itu terletak di fasiliti pembuatan Feytech di Kulim, Kedah, dengan kapasiti pengeluaran dianggarkan sebanyak 3,000 unit setahun pada tahun pertama operasi.
Pelaburan RM3.6 juta untuk kemudahan CKD
FTA telah melabur RM3.6 juta bagi menyediakan kemudahan tersebut, dengan pelaburan berpotensi meningkat sehingga RM8 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kemudahan berkeluasan kira-kira 84,000 kaki persegi itu dilengkapi keupayaan pemasangan kenderaan, pemeriksaan, ujian dan kawalan kualiti bagi menyokong pengeluaran trak pikap generasi baharu JAC.
Kemudahan pemasangan berkenaan dijangka menjana nilai ekonomi sekitar RM230 juta setahun, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong pembangunan rantaian bekalan automotif tempatan.
Kandungan tempatan disasar sehingga 30%
Program CKD itu menyasarkan kandungan tempatan sehingga 30%, sekali gus membantu membangunkan keupayaan pembuatan serta kepakaran teknikal tempatan dalam pemasangan kenderaan berkuasa elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif Evolvelectric Motors, Lau Yit Mun berkata program itu menjadi langkah penting dalam perkembangan jangka panjang JAC di Malaysia, ketika syarikat berusaha membina asas pengeluaran trak pikap tempatan.
Beliau berkata T9 PHEV petrol akan memulakan program pemasangan secara berperingkat itu sebelum diikuti model Diesel dan BEV, manakala JAC turut meneroka peluang mengeksport trak pikap yang dipasang di Malaysia, tertakluk kepada keadaan yang sesuai.
Feytech perluas keupayaan kepada pemasangan kenderaan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Feytech Holdings Berhad, Connie Go berkata projek JAC menandakan perkembangan penting bagi kumpulan itu daripada pengeluar komponen automotif kepada rakan pemasangan kenderaan secara CKD.
Menurutnya, melalui FTA, Feytech kini mengembangkan keupayaannya kepada pemasangan kenderaan komersial ringan serta membina proses pemasangan yang dapat memperluas penyertaannya dalam rantaian nilai automotif.
JAC T9 dibangunkan berasaskan platform antarabangsa generasi ketiga JAC dan menggabungkan fungsi trak pikap pacuan empat roda (4x4) dengan ciri kestabilan, keselesaan serta keselamatan untuk kegunaan komersial dan persendirian.
T9 PHEV petrol ketika ini merupakan satu-satunya trak pikap PHEV yang tersedia di Malaysia, dengan jarak perjalanan sehingga 1,000 kilometer melalui gabungan petrol dan bateri, tork sehingga 1,000 Newton meter (Nm), sistem dwi-motor serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) 2.0. Model itu turut memperoleh penarafan keselamatan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP).
Versi T9 PHEV petrol yang diimport sepenuhnya (CBU) akan diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada awal November 2026, sebelum versi pemasangan tempatan dijangka mula dikeluarkan dari kemudahan FTA di Kulim pada bulan yang sama. - DagangNews.com





