Range Rover lancar model elektrik pertama

Cars
10 Sep 2026 • 11:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Range Rover lancar model elektrik pertama Image from: Range Rover lancar model elektrik pertama liza10/09/2026 - 11:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Sept – Range Rover, jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah milik JLR, memperkenalkan Range Rover Electric, model pertamanya yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan membuka lembaran baharu bagi jenama itu.

 

Dibina di Solihull, United Kingdom (UK), Range Rover Electric menggabungkan ciri kemewahan, keselesaan dan keupayaan lasak yang menjadi identiti Range Rover dengan teknologi rangkaian kuasa elektrik.

 

Model itu dilengkapi dua motor elektrik magnet kekal berkuasa 260kW yang menghasilkan sehingga 550PS dan tork 850Nm, selain menawarkan jarak perjalanan sehingga 372 batu atau kira-kira 599 kilometer (km) mengikut piawaian WLTP.

 

JLR berkata, Range Rover Electric turut menawarkan jarak penggunaan dunia sebenar sehingga 535km, manakala pecutan dari sifar hingga 60 batu sejam boleh dicapai dalam masa serendah 4.3 saat.

 

Kekalkan keupayaan Range Rover

Menurut JLR, pembangunan model itu berpegang kepada prinsip “Range Rover first, Electric second”, iaitu memastikan penggunaan sistem elektrik tidak menjejaskan reka bentuk, keselesaan dan keupayaan Range Rover.

 

“Range Rover Electric dilengkapi sistem pengurusan cengkaman baharu yang mampu bertindak dalam tempoh serendah 50 milisaat bagi mengawal gelinciran dan mengekalkan cengkaman pada pelbagai permukaan.

 

“Sistem itu turut membolehkan kenderaan mengagihkan tork pada roda belakang daripada 100% kepada sifar bagi membantu mengelakkan kehilangan cengkaman, selain bekerjasama dengan mod pemanduan satu pedal untuk memberikan kawalan lebih lancar ketika mendaki.

 

“Dengan teknologi berkenaan, Range Rover Electric mampu mendaki cerun sehingga 45 darjah dan meredah air sehingga kedalaman 900 milimeter dan mengekalkan keupayaan pemanduan semua permukaan yang menjadi ciri utama Range Rover,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengecasan pantas dan bateri berkapasiti tinggi

Dari aspek pengecasan, Range Rover Electric menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti boleh guna 118.5 kilowatt-jam (kWh) yang mempunyai 344 sel berbentuk prismatik serta seni bina 800 volt.

 

Menggunakan pengecas pantas arus terus (DC) sehingga 350kW, bateri boleh dicas daripada 10% kepada 80% dalam kira-kira 22 minit apabila kenderaan mengecas pada kadar maksimum.

 

t

 

JLR berkata, pengecasan selama 10 minit juga boleh menambah jarak perjalanan sehingga 220km mengikut piawaian WLTP.

 

Model itu turut dilengkapi sistem pengurusan haba ThermAssist yang direka untuk mengoptimumkan jarak perjalanan, kelajuan pengecasan, jangka hayat bateri dan prestasi dalam keadaan suhu ekstrem dengan teknologi itu mampu menambah sehingga 25 batu jarak perjalanan serta mengurangkan penggunaan tenaga untuk pemanasan sebanyak 40%.

 

Diuji lebih 1.5 juta kilometer

JLR berkata, Range Rover Electric menjalani program pembangunan dan ujian yang meluas termasuk lebih 1.5 juta km perjalanan ujian serta lebih 250,000 jam ujian fizikal dan maya.

 

Ujian dilakukan dalam pelbagai keadaan ekstrem termasuk suhu serendah -40 darjah Celsius di Arjeplog, Sweden, cuaca panas di gurun Dubai serta di kemudahan ujian JLR di Eastnor Castle, UK.

 

Model itu dijangka menjadi Range Rover yang paling banyak dipatenkan dalam sejarah jenama berkenaan dengan lebih 300 permohonan paten difailkan, termasuk berkaitan teknologi pengurusan haba, bateri dan motor elektrik.

 

Untuk meningkatkan keselamatan dan kualiti bateri, JLR turut menggunakan makmal ujian bateri baharu yang menjalankan ujian getaran dan hentakan pelbagai arah dalam suhu antara -40 hingga 90 darjah Celsius.

 

Pengeluaran di UK, tempahan kini dibuka

Bagi menyokong pengeluaran Range Rover Electric, JLR telah mengubah suai kemudahan pengeluarannya di Solihull dengan teknologi pembuatan termaju serta meningkatkan kemahiran pekerja dalam bidang elektrifikasi.

 

Seramai 9,000 pekerja pengeluaran di Solihull telah diberi latihan berkaitan elektrifikasi, manakala 1,500 lagi pekerja di seluruh kawasan West Midlands turut menerima latihan.

 

JLR berkata, pusat pengeluaran di Wolverhampton turut menyokong pengeluaran model itu dengan menghasilkan pek bateri dan unit pacuan elektrik selain enjin pembakaran dalaman.

 

Tempahan Range Rover Electric kini dibuka dalam pilihan badan jarak roda pendek atau panjang dengan varian SE, HSE, Autobiography, SV, SV Ultra dan SV Black. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved