
Kota Kinabalu: Seorang pemimpin kanan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadikan platform untuk menuntut bayaran balik hasil kewangan Sabah 40 peratus ‘secara berkala’ yang dikutip Kerajaan Persekutuan.
Naib Presidenya, Datuk Masiung Banah (gambar), berkata jika Putrajaya berasa sukar memulangkan serentak bayaran 40 peratus dalam masa setahun, DUN Sabah boleh menyarankan mekanisme bayaran secara berkala.
Dalam kenyataanya pada Ahad, Wakil Rakyat Kuamut itu mengesa Speaker DUN Sabah agar menyediakan agenda tuntutan berkala itu dalam persidangan hujung tahun ini untuk dibahaskan.
“Cadangan ini bagi memudahkan Putrajaya melaksanakan bayaran balik hasil kewangan Sabah itu yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).
“Kita beri kelonggaran kepada kerajaan Persekutuan, sama ada mahu membayar tiga atau empat kali dalam tempoh setahun sehingga mencapai angka 40 peratus,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu kesal kerana Putrajaya sengaja melengahkan tuntutan itu sehingga rakyat Sabah terpaksa menanti selama 60 tahun.
Masiung mengingatkan, kegagalan kerajaan Persekutuan mengembalikan hasil 40 peratus itu akan menimbulkan kemarahan rakyat Sabah sekaligus menimbulkan persepsi bahawa pemimpin kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh terhadap tuntutan itu.
Menurutnya, tahun lalu kerajaan Persekutuan telah mengaut keuntungan sebanyak RM41 billion dari hasil minyak dan kastam Sabah.
Jumlah itu katanya, tidak termasuk hasil kutipan dari agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), syarikat ladang sawit dan pelabuhan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


