
KANGAR: Seluruh rakyat diseru supaya menjadikan Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai pedoman khususnya dalam kehidupan bermasyarakat.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, baginda amat menghargai kesetiaan,
rasa hormat dan kasih sayang rakyat jelata yang sentiasa menjadi kekuatan dalam memelihara keharmonian negeri ini.
Titah baginda, perpaduan merupakan kekuatan sesebuah bangsa maka daripada itulah, lahirnya keamanan dan kestabilan yang membawa kepada kemajuan serta kesejahteraan.
“Semoga negara dan negeri kita terus dikurniakan keamanan, kemakmuran, kestabilan dan kedaulatan yang berkekalan. Semoga rakyat Perlis dikurniakan kesihatan baik, rezeki yang berkat, kehidupan yang sejahtera serta perpaduan yang utuh,” titah baginda sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat negeri ini di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini malam tadi.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid;
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, kemerdekaan dinikmati hari ini lahir daripada perjuangan panjang, pengorbanan besar dan kesepakatan rakyat pelbagai kaum.
“Oleh itu, kemerdekaan hendaklah kita isi dengan ilmu, integriti, perpaduan dan rasa tanggungjawab terhadap tanah air. Rakyat yang benar-benar merdeka ialah rakyat yang mampu berfikir secara matang, bertindak dengan beretika serta menggunakan kebebasan dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddon turut menyeru anak-anak negeri ini khususnya generasi muda agar terus menuntut ilmu, menguasai kemahiran baharu, membina jati diri serta memelihara nilai agama dan budaya yang menjadi warisan kita.
Baginda bertitah, ilmu tanpa akhlak tidak akan melahirkan insan yang sempurna manakala kemajuan tanpa integriti juga tidak menjamin kesejahteraan berkekalan.
“Jadilah generasi yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berintegriti, serta bersedia menyumbang kepada kemajuan Perlis dan Malaysia,” titah baginda.-UTUSAN
The post Jadikan Rukun Negara, keluhuran Perlembagaan sebagai pedoman- Raja Perlis appeared first on Utusan Malaysia.



