'Jadual Odda, Siti Nurhaliza sama rancak!' - TokTi tepis isu kabel, takkan ambil bakat tak boleh 'jual'

Entertainment
28 Jul 2026 • 12:53 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Jadual Odda, Siti Nurhaliza sama rancak!' - TokTi tepis isu kabel, takkan ambil bakat tak boleh 'jual'

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan pemilihan anak angkatnya, Odda sebagai artis di bawah naungan SN Legacy sama sekali tidak melibatkan 'kabel'.

Mengulas mengenai tanggapan segelintir pihak yang mengaitkan pembabitan Odda dengan kelebihan 'kabel' atau pengaruh keluarga seni, figura seni yang mesra disapa TokTi menyangkal dakwaan berkenaan. 

Pembuktian sebenar terletak pada kerja keras Odda sendiri di atas pentas sehingga berjaya mengumpul pengikutnya yang tersendiri.

"Bila datang daripada keluarga seni, orang memang akan kaitkan. Tapi dia sendiri bekerja keras dan buktikan keupayaannya. Dia dah ada followers sendiri dan bersedia untuk melangkah lebih jauh," jelasnya.

Image from: 'Jadual Odda, Siti Nurhaliza sama rancak!' - TokTi tepis isu kabel, takkan ambil bakat tak boleh 'jual'

Tegasnya, keputusan untuk bekerjasama dan mengimbangi bakat baharu memerlukan perkiraan profesionalisme yang tinggi.

"Benda ni kadang-kadang susah nak cakap. Odda hampir ada semua. Dia ada pakej lengkap, suara yang hebat dan kelebihan tersendiri. Dalam bisnes, takkan kita nak ambil orang yang tak boleh 'dijual'? Business is business. Sebab itu saya pilih dia. Kalau tak layak, saya tak pilih," katanya penuh tegas.

Sempat berkongsi kesibukan remaja itu hampir menyaingi keaktifannya dan menang tangan menerima pelbagai tawaran persembahan dan penggambaran.

"Dia banyak menerima tawaran berlakon dan boleh berlakon dengan baik.

"Tengok jadual Odda dengan Siti Nurhaliza dah sama rancak! Saya tengok Odda, 'ALLAH Odda... tak rehat ke Odda?'. Lepas photoshoot, shooting... mak dia pun geleng kepala," selorohnya.

Berkongsi mengenai hala tuju dan konsep muzik Odda, TokTi memberitahu pihaknya lebih berminat mengetengahkan kekuatan fizikal dan gaya persembahan dinamik anak muda itu berbanding memaksanya menyanyikan lagu-lagu balada yang berat.

"Buat masa ini, kekuatan Odda bukan pada lagu balada. Sebab itu kita pilih konsep yang sesuai dengan kelebihan dia iaitu boleh menari dengan baik sambil menyanyi.

"Saya pentingkan lagu yang simple, catchy dan tidak menyusahkan dia ketika membuat persembahan. Cuma dia perlu perbanyakkan latihan lagi untuk aksi pentas yang lebih mantap dan teratur," ujarnya mengakhiri perbualan.

Image from: 'Jadual Odda, Siti Nurhaliza sama rancak!' - TokTi tepis isu kabel, takkan ambil bakat tak boleh 'jual'

Dalam ucapannya baru-baru ini, Siti juga menasihatkan bakat muda untuk terus belajar daripada orang lama dalam apa juga bidang yang diceburi.

"Odda ini seperti anak-anak saya. Mak Iti mendoakan moga terus bekerja keras, terus merendah diri, disiplin dan sentiasa belajar dengan orang yang sudah lama dalam industri. Apa-apa saja.

"Odda tak ada masalah dalam lakonan sebab ibu, nenek dan ayah yang merupakan pelakon hebat.

"Untuk adik-adik yang lain juga seperti yang saya kata, sentiasa belajar, hargai setiap pengorbanan keluarga dan juga para peminat serta sesiapa sahaja yang berada di sisi kita di saat susah dan juga senang," tuturnya.

Siti Nurhaliza ditemui SinarPlus ketika majlis pelancaran single solo pertama Odda, Gelanggang Rasa di Ideas Kuala Lumpur. 

Hubungan Odda dan Siti sebagai anak angkat dan ibu angkat bukan rahsia lagi. Pemilik nama Auddra Zulkifli itu dijadikan anak angkat oleh Siti sejak berusia dua tahun.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved