Jaecoo atasi Mazda sebagai jenama kereta bukan nasional ketiga terlaris di Malaysia - MBSB Research

20/08/2025 - 09:34
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Jaecoo, sub-jenama kepada pengeluar automotif China, Chery mencatat pencapaian luar biasa apabila menjadi jenama bukan nasional ketiga terlaris di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 7% mengatasi Mazda yang mengalami kemerosotan ketara dalam jualan.
MBSB Research berkata, walaupun jumlah keseluruhan jualan kenderaan (TIV) mencatatkan penurunan sebanyak 4.6% tahun ke tahun kepada 443,777 unit, Jaecoo menunjukkan prestasi cemerlang dengan pertumbuhan pantas dalam pasaran tempatan.
Ia mencerminkan penerimaan kukuh pengguna terhadap penawaran Jaecoo yang menekankan reka bentuk moden, teknologi terkini, dan nilai berpatutan.
Katanya, Mazda, yang sebelum ini menjadi antara peneraju dalam segmen bukan nasional, mencatat penurunan mendadak sebanyak 53.2% dalam TIV tahun ke tahun.
Sementara itu, Toyota kekal sebagai peneraju segmen bukan nasional dengan pegangan pasaran sebanyak 29%, walaupun mengalami penurunan TIV sebanyak 6.3%.
"Kejayaan Jaecoo dalam suasana pasaran yang mencabar dan menunjukkan perubahan citarasa pengguna Malaysia yang semakin terbuka kepada jenama automotif dari China.
"Fokus Jaecoo pada segmen SUV mampu milik terbukti berkesan dalam menarik perhatian pembeli tempatan," katanya dalam satu nota kajian.
MBSB Research berkata, pasaran menjangkakan momentum jualan Jaecoo akan berterusan pada separuh kedua 2025, disokong peningkatan stok, promosi sempena sambutan Merdeka, serta sentimen pengguna yang dijangka pulih berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini.
Walaupun jualan keseluruhan kenderaan dijangka menyusut sedikit tahun ini – dengan unjuran TIV bagi tahun 2025 pada 792,000 unit (-3.0% tahun ke tahun) – prestasi cemerlang Jaecoo dijangka meletakkannya sebagai pemain utama dalam landskap automotif Malaysia yang semakin kompetitif.
Selain itu, dengan peralihan kepada duti eksais berasaskan nilai pasaran terbuka bagi kenderaan CKD (pemasangan tempatan sepenuhnya) yang dijadualkan bermula pada Januari 2026, firma penyelidikan itu menjangkakan berlaku pembelian awal pada separuh kedua tahun 2025.- DagangNews.com
standard

