PETRONAS Chemicals berdepan segmen Olefin & Derivatif suram - MBSB Research

14/08/2025 - 09:37
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 14 Ogos - PETRONAS Chemicals Group Berhad (PetChem) dijangka terus bergantung kepada kecekapan operasinya bagi mengharungi cabaran cabaran pasaran serta ketidaktentuan permintaan, kata MBSB Research.
Katanya, kumpulan terus memberi tumpuan bagi mengekalkan kadar penggunaan loji yang tinggi bagi mengurangkan tekanan luaran dan terus berinteraksi dengan pelanggan bagi memastikan bekalan produk dan perkhidmatan yang konsisten.
Firma penyelidikan itu berkata, beberapa syarikat petrokimia juga terjejas akibat lebihan bekalan dan ketidaktentuan permintaan, yang terus mencetuskan persekitaran mencabar bagi PetChem.
"Prestasi PetChem bagi 2QFY25 menjadi bukti hubungan rapatnya dengan keadaan ekonomi global," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, pendapatan kumpulan juga menyusut 16% kepada RM6.44 bilion berbanding RM7.73 bilion pada 2QFY24 disebabkan penyusutan jumlah jualan dan penurunan purata harga produk.
Bagi separuh pertama tahun ini, PetChem mencatatkan jumlah kerugian bersih sebanyak RM1.1 bilion, berbanding untung bersih sebanyak RM1.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan susut kepada RM14.09 bilion daripada RM15.23 bilion pada 1HFY24.
Dari segi segmen, MBSB Research menjangkakan permintaan bagi segmen Olefin & Derivatif (O&D) kekal perlahan.
Katanya, harga dijangka terus lemah akibat ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan, walaupun tarif AS yang dijangka lebih menguntungkan mungkin memberikan sedikit sokongan kepada segmen itu.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi segmen produk khas, mereka lebih berhati-hati terhadap pertumbuhan permintaan kerana ia merupakan pasaran khusus.
"Jualan dan penetapan harga bagi produk dalam segmen ini lebih sukar untuk dinavigasi kerana ia bergantung kepada industri berat lain yang turut menghadapi cabaran tersendiri akibat faktor luaran.
"Sementara itu, segmen baja dan metanol menunjukkan prospek yang lebih kukuh, disokong permintaan bermusim daripada sektor perladangan dan bekalan yang stabil selepas aktiviti penyelenggaraan," katanya.
Selepas mengambil kiran prestasi lemah kumpulan bagi 2QFY25, MBSB Research menurunkan anggaran pendapatan FY25 sebanyak 24%.
Katanya, walaupun pihaknya menjangkakan prospek suram bagi segmen O&D dan produk khusus yang disebabkan harga produk yang lebih rendah, lebihan bekalan dan kadar tukaran asing yang tidak menguntungkan, namun masih mengekalkan unjuran pendapatan positif bagi FY25 kerana menjangkakan kerugian susut nilai hanya sekali sahaja.
"Kami mengekalkan anggaran bagi FY26 dan FY27, sejajar dengan pemulihan industri petrokimia global, berikutan pengurangan tekanan harga terhadap bahan suapan (feedstocks) dan keadaan ekonomi yang lebih stabil, terutamanya selepas pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM3.01 sesaham.- DagangNews.com
standard

