Pemulihan pengeluaran buah tandan segar diramal pacu pertumbuhan hasil SD Guthrie pada FY25 - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2025 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemulihan pengeluaran buah tandan segar diramal pacu pertumbuhan hasil SD Guthrie pada FY25 - MBSB Research

image is not available

08/08/2025 - 09:46

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pemulihan pengeluaran buah tandan segar (BTS) diramal terus menjadi pemacu pertumbuhan hasil SD Guthrie Berhad pada FY25, kata MBSB Research.

Katanya, pemulihan hasil BTS dijangka mencapai paras 19.63 tan pada FY25, kembali ke paras sebelum penularan COVID-19.

Firma penyelidikan itu berkata, ia disokong usaha pemulihan intensif yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu di kawasan Malaysia.

"Risiko peraturan di Indonesia dijangka memberi impak terhad memandangkan keluasan kawasan yang terjejas adalah kurang daripada 3% daripada jumlah keluasan tanah kumpulan.

"Sementara itu, tarif baharu AS sebanyak 19% dijangka memberi kesan minimum memandangkan hanya 2% daripada eksport syarikat dihantar ke AS.

"Syarikat kekal terlindung berikutan laluan rantaian bekalan yang kukuh dari Papua New Guinea (PNG) dan United Kingdom (UK)," katanya dalam satu nota kajian.

MBSB Research berkata, selepas pelarasan item luar biasa sebanyak RM26 juta, keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras bagi 2QFY25 melonjak 12.4% kepada RM479 juta.

Katanya, prestasi memberangsangkan itu didorong sumbangan kukuh segmen huluan (+55.7% tahun ke tahun), hasil daripada harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi, pengeluaran BTS kumpulan yang memberangsangkan (+4.1% tahun ke tahun), serta penurunan kos pengeluaran.

"Bagaimanapun, pendapatan segmen hiliran merosot sebanyak 40% berikutan margin penapisan yang semakin mengecil, yang terus menekan prestasi perniagaan hiliran akibat kos bahan mentah yang tinggi dan permintaan pasaran yang lemah," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.43.- DagangNews.com

standard