
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memperkenalkan sistem tapisan rekod jenayah bagi guru di sekolah agama berdaftar untuk mengesan sebarang rekod jenayah sebelum mereka dibenarkan mengajar.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, cadangan mewujudkan sistem tapisan itu akan dibincangkan bersama pihak polis bagi memastikan latar belakang setiap guru dapat diteliti sebelum mereka ditempatkan di sekolah.
Katanya, langkah itu bagi memperkukuhkan keselamatan dan melindungi pelajar daripada risiko salah laku guru.
“Kita akan panggil mesyuarat Jawatankuasa Pendaftar Sekolah-Sekolah (berdaftar JAIS), dengan antara dibincangkan adalah berkemungkinan mensyaratkan semua guru-guru mesti dapat ulasan daripada pihak polis dan perlu ada tapisan keselamatan.
“Kita akan bincang dengan polis dalam melaksanakan tapisan itu,” katanya, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir majlis perasmian dan penutupan kursus persediaan pelajar Selangor ke Luar Negara (Timur Tengah) 2026 yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, di sini.
Mohd. Shahzihan berkata, JAIS akan mengarahkan pihak sekolah memperkemas tatakelola bagi mengelakkan wujud ruang berlakunya salah laku antara guru dan pelajar.
Menurutnya, pertemuan guru dengan pelajar secara bersendirian, khususnya pada waktu sunyi atau tanpa pengawasan, perlu dielakkan.
“Kita mahu sekolah mempunyai aturan yang jelas supaya guru, pentadbir dan pelajar memahami perkara yang perlu dielakkan, termasuk tidak memberikan layanan terlalu istimewa atau mengadakan sesi pertemuan pada waktu yang tidak lazim,” katanya.
Mengulas mengenai status guru yang dipercayai terlibat dalam kes amang seksual itu, beliau mengesahkan guru berusia 30-an telah dihentikan dari sebuah sekolah agama swasta berdaftar di daerah Gombak.
Katanya, guru berkenaan baru berkhidmat di sekolah itu kurang daripada setahun.
“Kes libatkan jenayah telah diambil tindakan polis dan kita serah kepada polis. Dalam media kata ada rekod jenayah sebuah negeri.
“Guru itu sepatutnya menjadi pembela, penaung dan menjaga keselamatan pelajar, bukannya menjadi individu yang melakukan kesalahan tidak bermoral, tidak berakhlak dan tidak beretika,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan status siasatan kes amang seksual yang didakwa berlaku di sebuah sekolah agama swasta berdaftar di Selangor kini menjadi perhatian Majlis Agama Islam Selangor yang menunggu hasil siasatan sebelum menentukan tindakan susulan. – KOSMO! ONLINE
The post JAIS bakal wajib tapisan rekod jenayah guru sekolah agama appeared first on Kosmo Digital.





