
SHAH ALAM: Polis tidak menolak kemungkinan kematian seorang guru wanita sebuah sekolah di Hulu Selangor pada akhir bulan lalu mempunyai kaitan dengan tekanan yang dialaminya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun polis menyiasat perkara itu dan turut melihat pelbagai aspek bagi mengenal pasti punca kematian sebenar, sementara kes masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“SDR itu sendiri adalah salah satu bentuk siasatan kerana ia tidak melibatkan rumusan sebagai satu kesalahan jenayah. Kita tak pernah menjurus kepada sesuatu selagi siasatan belum selesai. Kita buka kepada segala aspek penyiasatan.
“Jadi, sekiranya tekanan itu merupakan salah satu yang perlu dilihat, sudah tentu kita akan ke arah tersebut juga. Selagi siasatan belum selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya berserta cadangan, semua aspek siasatan masih terbuka,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, polis sudah pun mengambil keterangan melibatkan pelbagai individu termasuk rakan sekerja mangsa, namun akan terus memanggil saksi lain bagi mendapat pengesahan berhubung punca kejadian.
“Saya rasa tak perlu saya kongsikan jumlah berapa saksi yang telah dipanggil. Cuma kalau saya katakan memang rakaman sedang diambil, dan akan diambil lagi. Itu siasatan,” jelasnya.
Seorang guru wanita ditemukan maut di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor, semalam.
Ketua Polis Hulu Selangor M. Manimaran berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di bilik guru sekolah berkenaan ketika pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.15 pagi.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, seorang guru wanita ditemukan maut di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor, pada 31 Julai lalu.
Ketua Polis Hulu Selangor M. Manimaran berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di bilik guru sekolah berkenaan ketika pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.15 pagi. – UTUSAN
The post Polis siasat aspek tekanan kes kematian guru di Hulu Selangor appeared first on Utusan Malaysia.






