Kes amang seksual: JAIS sedia lihat semula status pendaftaran sekolah - Exco

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes amang seksual: JAIS sedia lihat semula status pendaftaran sekolah - Exco
Mohammad Fahmi berkata, JAIS sebelum ini sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang potensi kelakuan tidak bermoral membabitkan guru dan pelajar.

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersedia mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes amang seksual membabitkan guru dan pelajar termasuk melihat semula status pendaftaran sekolah terbabit.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, tindakan itu akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang sedia ada sekiranya perkara itu mempunyai kaitan dengan bidang kuasa JAIS.

"Saya yakin JAIS akan mengambil tindakan yang wajar selaras dengan undang-undang sedia ada jika perkara ini berkaitan, termasuk melihat semula status pendaftaran sekolah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi menjelaskan, pentadbiran negeri kesal terhadap insiden amang seksual songsang terutama melibatkan sekolah agama.

Menurutnya, perkara itu lebih mendukacitakan kerana sekolah agama sepatutnya menjadi tempat selamat kepada pelajar, manakala guru bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, tetapi juga penjaga kepada pelajar yang sedang membesar dari aspek fizikal, akal dan emosi.

"Saya berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat rapi kes ini dan individu yang disyaki mendapat hukuman setimpal.

Mohammad Fahmi berkata, JAIS sebelum ini sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang potensi kelakuan tidak bermoral membabitkan guru dan pelajar.

Katanya, pihak pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan tegas dan melaksanakan polisi tidak berkompromi bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak terus berlaku.

"JAIS sentiasa terbuka menerima sebarang aduan daripada pelajar atau mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen, potensi atau tanda berkaitan kemungkinan berlaku insiden gangguan atau amang seksual di sekolah atau asrama.

"Tindakan undang-undang yang wajar akan segera diambil dan tiada kompromi kepada mana-mana pesalah kerana sekolah harus menjadi tempat selamat kepada anak-anak kita," tambah beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved