
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulakan siasatan berhubung hantaran tular tindakan individu beragama Islam yang dipercayai melakukan amalan atau ritual agama bukan Islam yang menyalahi hukum syarak.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Beliau berkata, kedua-dua peruntukan itu melibatkan kesalahan melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan dengan cara menyalahi hukum syarak serta perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
“JAIS memandang serius perkara yang menyentuh persoalan akidah umat Islam di Selangor. Setiap maklumat atau aduan akan disiasat dan diambil tindakan secara profesional, tegas, cepat, tepat dan adil,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini JAIS belum dapat mengesahkan perbuatan itu dilakukan oleh individu berkenaan ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves seperti yang ditularkan.
Katanya, JAIS juga tidak menolak keberangkalian hantaran tersebut melibatkan suntingan gambar telah diubah suai ( super impose) atau kecerdasan buatan (AI).
Justeru, Mohd. Shahzihan berkata, pihaknya akan meneliti beberapa fakta berkaitan kes itu dengan lebih terperinci termasuk tempat berlakunya kejadian dengan kadar segera bagi mengenal pasti bidang kuasa JAIS untuk tindakan selanjutnya.
“JAIS akan kekal komited melaksanakan penguatkuasaan undang-undang syariah bagi memastikan akidah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di Selangor terus terpelihara tanpa sebarang penyelewengan, penghinaan dan pertikaian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post JAIS siasat individu Islam lakukan ritual agama lain appeared first on Kosmo Online.






