
PETALING JAYA – Orang ramai diminta berwaspada terhadap hantaran seorang wanita kononnya sedang membantu dua beranak berada dalam kesusahan selepas terpaksa melarikan diri dari rumah susulan konflik rumah tangga.
Peringatan itu disuarakan seorang pengguna Threads @high_sands yang mendakwa hantaran berkenaan mempunyai beberapa ciri mencurigakan termasuk penggunaan imej yang dipercayai dijana kecerdasan buatan (AI).
Menerusi tangkap layar dikongsikan, hantaran asal daripada pengguna Threads @zabedahbintismail itu memaparkan seorang wanita bertudung sedang mendukung seorang kanak-kanak yang menangis.
Hantaran tersebut turut menggunakan tajuk ‘titik terendah seorang isteri’ dan mendakwa individu berkenaan membantu menghantar dua beranak terbabit ke pekan Sungkai, Perak kerana tidak mampu memberikan wang untuk urusan perjalanan mereka.
“Say mampu menghantar dua beranak ke pekan Sungkai je. Tapi hati saya rasa bersalah sangat sebab tak dapat beri apa-apa duit masa tinggalkan dua beranak sebab ngam-ngam nak bayarkan hal tertanggung.
“Kalau saya bagi jadi masalah diri saya sendiri. Allah rasa bersalahnya,” demikian menurut sebahagian hantaran yang dipaparkan dalam tangkap layar tersebut.
Wanita itu turut memohon orang ramai membantu dua beranak berkenaan dengan segera kerana didakwa bimbang mengenai keselamatan mereka.
“Mohon saling sama-sama bantu dua beranak ni dengan segera, saya bimbang keselamatan mereka,” katanya.
Wanita itu turut mendakwa kos perjalanan mencecah RM35 kerana lokasi berkenaan merupakan kawasan perkampungan dari Sungkai dan memerlukan perjalanan menggunakan beberapa bas termasuk ke Bidor, Teluk Intan dan Manjung.
Bagaimanapun, pengguna @high_sands mendakwa hantaran berkenaan merupakan cubaan penipuan dengan menggunakan gambar AI untuk meraih simpati dan sumbangan orang ramai.
“Scammer buat hal lagi. Sesiapa nampak hantaran minta bantuan untuk seorang ibu konon lari dari rumah sebab suami curang, tolong abaikan, tak payah nak derma.
“Nampak sangat membongak (menipu) guna gambar AI. Perasan tak gambar mak menangis ada tiga tangan?” katanya.
Pengguna itu turut mendakwa modus operandi berkenaan menggunakan kisah menyedihkan, meminta orang ramai berkongsi atau menyalurkan sumbangan melalui kod QR serta mengehadkan ruangan komen.
“Satu lagi dia off comment (tutup ruangan komen) jadi jumpa hantaran macam ini memang scammer. Tolong jangan diperbodohkan scammer yang guna gambar AI saja,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jaja cerita sedih, tapi kantoi guna gambar AI ada 3 tangan appeared first on Kosmo Online.






![[KEMAS KINI] Lelaki maut jatuh kondo, mayat isteri, 2 anak dalam bilik](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/PESARA-POLIS-MENINGGAL-DUNIA-1024x771.jpeg?v=1779157200)