Jajaran BN–PN kukuhkan laluan BN kembali ke Wisma Negeri

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 10:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jajaran BN–PN kukuhkan laluan BN kembali ke Wisma Negeri
PRN negeri Sembilan memperlihatkan perubahan jajaran politik yang besar BN dan PN.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini memperlihatkan perubahan jajaran politik yang besar di mana persaingan utama bukan lagi Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menentang Perikatan Nasional (PN) seperti pada PRN 2023.

Kini apa yang berlaku ialah PH berhadapan suatu persefahaman BN-PN dengan PH bertanding di kesemua 36 kerusi manakala BN mengemukakan 25 calon dan PN bertanding di baki 11 kerusi.

Secara aritmetik, kedudukan awal BN-PN bukan kecil. Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 dan PN lima. Ertinya, kerusi yang dimenangi BN dan PN ketika itu berjumlah 19 kerusi, tepat pada angka majoriti mudah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 36 kerusi.

Namun demikian, kemenangan PRN 2026 tidak boleh dianggap automatik. Pola pertandingan, calon dan hubungan antara parti sudah berubah. Keupayaan BN membentuk kerajaan dengan bantuan PN bergantung pada tiga syarat utama iaitu mempertahankan kerusi sedia ada, memastikan pemindahan sokongan antara penyokong BN dan PN serta menawan sekurang-kurangnya beberapa kerusi marginal PH.

Kekuatan asas: 19 kerusi warisan BN, PN

Kelebihan pertama BN-PN ialah mereka tidak perlu menawan seluruh negeri. Laluan paling minimum ialah BN mempertahankan 14 kerusi dan PN mempertahankan 4 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023.

BN mempunyai tapak yang kukuh dalam jalur luar bandar dan separa bandar majoriti Melayu. Antaranya termasuk Palong, Seri Menanti, Kota, Chembong, Senaling, Juasseh, Sungai Lui, Lenggeng, Pertang, Gemencheh, Linggi, Rantau dan Jeram Padang.

Walaupun sebahagian kerusi tersebut pernah dimenangi dengan majoriti kecil, BN mempunyai organisasi tempatan, penyandang atau bekas penyandang serta rangkaian perkhidmatan yang telah lama terbina.

Di Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan membawa kekuatan peribadi yang sukar ditandingi. Beliau menyandang kerusi itu sejak PRU 2004 dan memenanginya pada PRN 2023 dengan majoriti 10,280 undi. Datuk Seri Jalaluddin Alias pula mempertahankan Pertang selepas kemenangan dengan majoriti 2,790 undi pada PRN 2023.

Di Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli mempunyai kelebihan sebagai pemenang pada PRN 2023 sementara Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Datuk Zaifulbahri Idris dan Suhaimizan Bizar membawa pengenalan tempatan yang kuat di kerusi masing-masing.

Kehadiran Mohamad Hasan memberikan BN seorang tokoh yang mempunyai pengalaman sebagai Menteri Besar, pemimpin nasional dan calon yang berakar kukuh di Negeri Sembilan. Dalam ucapan pelancaran manifesto, beliau merumuskan pendekatan BN dengan ungkapan: “Orang Nogoghi cari orang yang pandai buek kojo.”

Beliau turut menegaskan bahawa BN “bukan datang nak bereksperimen” tetapi datang dengan pengalaman untuk bekerja. Ia menyampaikan mesej bahawa BN menawarkan pemulihan pentadbiran berasaskan pengalaman, bukan semata-mata pertukaran kerajaan.

PN pengganda kekuatan

PN pula tidak perlu menyebarkan jenteranya ke seluruh 36 kerusi. Dengan bertanding hanya di 11 kawasan, PN dapat memusatkan tenaga, sumber dan petugasnya di kerusi yang mempunyai asas sokongan tertentu.

Empat kerusi utama PN ialah Serting, Paroi, Bagan Pinang dan Gemas. Pada PRN 2023, PN memenangi Serting dengan majoriti 843 undi, Paroi dengan majoriti 5,539 undi, Bagan Pinang dengan majoriti 3,426 undi dan Gemas dengan majoriti 3,120 undi. Danni Rais di Klawang pula merupakan pencabar serius kerana hanya tewas dengan 577 undi pada PRN 2023.

PN juga membawa beberapa calon yang mempunyai profil tersendiri, termasuk Kamarol Ridzuan Mohd Zain di Paroi, Mohd Fairuz Mohd Isa di Serting, Abdul Fatah Zakaria di Bagan Pinang, Ridzuan Ahmad di Gemas serta Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek di Ampangan.

Gabungan calon penyandang, tokoh agama, profesional dan aktivis tempatan membolehkan PN melengkapi imej BN yang lebih berorientasikan pengalaman pentadbiran.

Dari sudut strategi, PN membantu BN dalam dua bentuk. Pertama, PN menjaga kawasan yang memang mempunyai sokongan terasnya, sekali gus membolehkan BN memberi tumpuan kepada 25 kerusi lain.

Kedua, penyokong PN di kerusi BN boleh menjadi undi tambahan yang penting, terutama di kerusi yang pernah dimenangi BN dengan majoriti tipis seperti Juasseh, Kota, Seri Menanti, Sungai Lui, Palong dan Lenggeng.

Di Juasseh, majoriti BN pada PRN 2023 hanya 78 undi; Kota 135; Seri Menanti 370; Sungai Lui 535; Palong 564; dan Lenggeng 685. Kerusi-kerusi ini menunjukkan bahawa disiplin pemindahan undi antara BN dan PN boleh menentukan sama ada kerusi berkenaan dipertahankan atau jatuh kepada PH.

Manifesto BN tawaran berstruktur

Kekuatan kedua BN ialah manifestonya lebih terperinci dan dibina dalam bentuk sasaran yang boleh dinilai. Manifesto itu mengandungi 88 usaha dalam sembilan teras, 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera serta cadangan menubuhkan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto. Prinsipnya ialah janji mesti dipantau, kerja mesti diukur dan pencapaian perlu dilaporkan kepada rakyat.

Dalam bidang ekonomi, BN menetapkan sasaran RM30 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun, 30,000 peluang pekerjaan, 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi, latihan kepada 20,000 peserta TVET serta pendekatan “satu daerah, satu syarikat utama”.

Pendekatan ini penting kerana ia cuba menghubungkan pelaburan dengan pekerjaan dan pembangunan daerah, bukan hanya mengumumkan jumlah pelaburan secara agregat.

Tawaran BN turut mempunyai penekanan luar bandar yang jelas. Manifesto itu menjanjikan 8,000 lot tapak rumah di FELDA, usaha menyelesaikan masalah air dan elektrik bagi rumah kedua, pembangunan koperasi pertanian di setiap DUN serta bantuan produktiviti kepada petani, penternak dan nelayan.

Dalam bidang perumahan, BN menyasarkan 25,000 unit rumah dan kediaman, 1,000 lot tapak perumahan kampung, bantuan membaiki rumah daif serta tiada kenaikan cukai pintu selama lima tahun. Komitmen ini lebih tinggi daripada sasaran PH untuk membina 20,000 rumah mampu milik.

Manifesto BN juga mempunyai dimensi kebajikan yang dekat dengan kehidupan harian. Antaranya ialah konsep satu DUN satu ambulans, bantuan OKU dan anak autisme, katil bagi pesakit terlantar, bantuan perubatan, perlindungan pekerja gig dan Skim Salam Sejahtera yang meliputi bayi, pelajar, mahasiswa, pasangan yang berkahwin, warga emas serta waris penerima bantuan.

Kelebihan manifesto BN berbanding manifesto PH bukan bermaksud semua tawaran PH lemah. PH turut menawarkan 30,000 pekerjaan, bantuan tunai yang lebih luas, projek Seremban Sentral, Hospital Bandar Enstek, Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson dan landasan pintasan Senawang–Port Klang.

Namun begitu, manifesto BN mempunyai kelebihan dari segi perincian mengikut sektor, kawasan dan kumpulan sasaran. Ia menghubungkan sasaran besar dengan instrumen pelaksanaan seperti TVET, syarikat utama bagi setiap daerah, lot FELDA, koperasi pertanian dan unit pemantauan manifesto.

Dalam bahasa Mohamad Hasan, manifesto itu bertujuan menyambung semula dasar dan rancangan pembangunan yang menurut BN terhenti atau kehilangan momentum selepas pertukaran kerajaan pada 2018.

Masalah struktur PH

PH tetap merupakan lawan yang kuat. Gabungan itu mempunyai jentera kukuh di kawasan bandar, beberapa penyandang popular dan rekod pentadbiran yang diketengahkan melalui pencapaian pelaburan, kebajikan, infrastruktur serta pengurusan kewangan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan struktur dalam PH.

Pertama, PH hanya memenangi 17 daripada 36 kerusi pada 2023 dan memerlukan kerjasama 14 ADUN BN untuk membentuk kerajaan yang stabil. Pergantungan itu menjadi nyata apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar pada April 2026. Empat jawatan Exco UMNO kemudian dikosongkan dan portfolio berkenaan dipangku oleh enam Exco PH yang masih ada.

Krisis tersebut menunjukkan bahawa kestabilan kerajaan PH sejak PRN 2023 tidak dibina atas kekuatan PH sendiri, tetapi bergantung pada kerjasama BN. PH kini perlu membuktikan bahawa ia boleh memperoleh sekurang-kurangnya 19 kerusi secara bersendirian.

Kedua, PH berhadapan cabaran pengurusan calon dan jentera. Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Sei Aminuddin Harun, sendiri mengingatkan ahli serta pemimpin PH supaya tidak mengkhianati parti sekiranya tidak dipilih sebagai calon. Rasa tidak puas hati, sabotaj dalaman atau jentera yang tidak bergerak sepenuhnya itu ada dalam PH.

Ketiga, pimpinan PH mengakui terdapat penurunan sokongan pengundi Melayu dan keperluan meningkatkan sokongan pengundi muda berdasarkan pengalaman PRN Johor 2026. Cabaran ini sangat relevan di Negeri Sembilan kerana banyak kerusi penentu mempunyai majoriti pengundi Melayu yang besar.

Keempat, perpindahan Aminuddin dari Sikamat ke Linggi merupakan percaturan berisiko. Linggi ialah kerusi tradisi BN yang dimenangi Datuk Mohd Faizal Ramli pada PRN 2023 dengan majoriti 1,461 undi. Aminuddin sendiri terpaksa fokus di kerusi yang sukar ini dan membuatkan beliau sukar berkempen di kawasan lain.

PH turut berdepan isu setempat yang belum selesai sepenuhnya, termasuk masalah banjir berpanjangan di Linggi. Kerajaan menyatakan dua projek tebatan banjir telah diluluskan dan sedang dilaksanakan, tetapi hakikat bahawa isu tersebut masih menjadi perdebatan menunjukkan wujud jurang antara kelulusan projek dengan hasil yang dirasai rakyat.

Pemindahan undi

Walaupun asas BN-PN kelihatan amat kuat, sebenarnya masih terdapat satu cabaran utama kepadanya, iaitu penyokong parti tidak semestinya memindahkan undi secara automatik kepada calon parti rakan.

Penyokong tradisional BN mungkin sukar menerima calon PN di sesetengah kawasan. Begitu juga penyokong PN yang selama ini menyerang UMNO mungkin tidak serta-merta mengundi calon BN. Kehadiran calon BERSATU secara berasingan dan pertandingan pelbagai penjuru di beberapa kawasan seperti Palong, Seri Menanti dan Kota juga bermakna penyatuan undi anti-PH belum sempurna.

Oleh itu, kempen BN-PN perlu bekerja kuat menjelaskan kepada akar umbi mereka bahawa objektif minimum ialah mengelakkan undi berpecah dan membentuk kerajaan yang stabil. Jentera kedua-dua pihak juga perlu bekerjasama pada peringkat peti undi, bukan hanya berkongsi pentas ceramah.

BN-PN tidak perlu menawan kubu bandar PH-DAP seperti Nilai, Bukit Kepayang, Mambau dan Lobak yang mempunyai majoriti besar. Strategi yang lebih realistik ialah mempertahankan jalur 19 kerusi warisan mereka dan menumpukan serangan kepada kerusi PH yang marginal seperti Ampangan, Klawang dan Pilah.

Keupayaan BN memenangi PRN Negeri Sembilan dengan bantuan PN adalah realistik kerana BN dan PN secara bersama mempunyai asas 19 kerusi daripada keputusan 2023; mempunyai calon berpengalaman dan penyandang; menguasai banyak kawasan majoriti Melayu; serta menawarkan manifesto yang terperinci, bersasaran dan mempunyai mekanisme pemantauan.

Masa sama, disebabkan persefahaman BN-PN masih baharu dan pemindahan undi belum pasti terjamin BN-PN perlu memastikan jentera dan penyokong mereka saling bantu-membantu, memperkukuh kadar keluar mengundi di kawasan luar bandar dan menawan beberapa kerusi marginal PH.

Sekiranya syarat-syarat ini dipenuhi, manifesto BN diterjemahkan dalam bahasa yang mudah difahami dan kekuatan peribadi calon dimanfaatkan sepenuhnya, BN mempunyai peluang amat cerah untuk kembali menerajui Negeri Sembilan.

*Dr Iskandar Hassan Tan Abdullah ialah penganalisis politik tempatan

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved