Jalaluddin dakwa ada cubaan cetus kebencian terhadap BN menjelang hari mengundi

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 8:39 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Jalaluddin dakwa ada cubaan cetus kebencian terhadap BN menjelang hari mengundi

TAMPIN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendakwa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kini memasuki fasa yang lebih tegang apabila muncul tindakan memasang kain rentang berunsur provokasi yang disifatkannya sebagai cubaan membentuk persepsi negatif terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian.

Jalaluddin yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, antara kain rentang yang dikesan memaparkan gambar beliau bersama slogan “BN Menang, Mukhriz Turun” di sekitar Seremban, yang menurutnya bertujuan menanam kebencian rakyat terhadap gabungan berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan politik sedemikian tidak lagi sesuai diamalkan dalam landskap politik semasa kerana hanya berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Hari ini sudah bermula pendekatan untuk menanamkan rasa benci rakyat kepada Barisan Nasional dengan menaikkan kain rentang yang tidak sewajarnya dipasang. Pendekatan seperti ini tidak lagi sesuai dalam landskap politik hari ini.

“Pendekatan politik sedemikian itu dilakukan 10 tahun dulu, maka zaman sekarang saya fikir tidak wajar untuk menanamkan rasa benci rakyat menunjukkan suasana perkauman yang melampau dan ianya akan memberikan ketidakstabilan masyarakat di bawah peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sembilan Tahun 2026 (JPKK) di Gemencheh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Jalaluddin memaklumkan pihaknya turut menerima maklumat mengenai dakwaan beberapa pengundi di beberapa kawasan termasuk Kuala Pilah dan Jempol menerima wang daripada individu yang didakwanya bertindak sebagai broker politik.

Dakwaan itu menyusul selepas beliau semalam membuat laporan polis berhubung insiden yang didakwa melibatkan cubaan menyogok pengundi, termasuk membabitkan kakaknya yang dikatakan didatangi individu menawarkan wang menjelang hari pengundian.

Jalaluddin berharap semua pihak mengamalkan kempen yang matang, beretika serta menghormati proses demokrasi supaya rakyat dapat membuat pilihan dalam suasana aman dan harmoni pada hari pengundian nanti.

The post Jalaluddin dakwa ada cubaan cetus kebencian terhadap BN menjelang hari mengundi appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved