
REMBAU – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Aini, mendakwa tindakan menggantung atau menyekat akaun media sosial miliknya ketika tempoh akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai amalan yang tidak sihat serta boleh menjejaskan penyampaian maklumat kepada pengundi.
Menurut penyandang kerusi DUN Kota itu, media sosial menjadi antara medium utama untuk beliau berkongsi rekod pencapaian sepanjang tempoh memegang jawatan selain mendekati masyarakat sepanjang tempoh berkempen.
“Bagi saya, kaedah berkempen seperti ini adalah satu kempen yang tidak sihat sebenarnya kerana inilah antara platform yang kita gunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Melalui pertemuan secara bersemuka dan media sosial, kita berkongsi apa yang telah kita lakukan serta laksanakan sepanjang tempoh berkempen. Jadi apabila media sosial disekat, ia bukan sesuatu yang baik dan tidak sihat,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, Suhaimi memaklumkan akaun media sosial miliknya digantung sejak pagi tadi, sekali gus menimbulkan kesukaran untuk meneruskan kempen secara dalam talian menjelang hari terakhir berkempen.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, BN memilih untuk meneruskan kempen secara positif sepanjang dua minggu tempoh berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan memberi tumpuan kepada rekod perkhidmatan dan pencapaian kepada rakyat.
Katanya, sepanjang tempoh dua tahun lapan bulan menjadi wakil rakyat, pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan telah dilaksanakan, sekali gus menjadi asas kepada kempen yang dibawa kepada pengundi.
“Alhamdulillah, walaupun tempohnya hanya dua tahun lapan bulan, banyak agenda untuk rakyat telah kita laksanakan dengan baik dan kini terpulang kepada pengundi untuk menilai sendiri apa yang telah kita lakukan,” katanya.
Mengulas saingan tiga penjuru di DUN Kota, Suhaimi menyifatkan persaingan kali ini berlangsung dalam suasana yang sihat apabila setiap calon diberi ruang memperkenalkan perancangan masing-masing kepada rakyat.
Beliau berkata, fokus utama BN kekal kepada usaha menerangkan pencapaian terdahulu dan menawarkan penambahbaikan bagi memenuhi keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Suhaimi turut mengingatkan pengundi luar yang pulang ke Negeri Sembilan supaya berhati-hati sepanjang perjalanan serta memastikan hadir awal ke pusat mengundi pada Sabtu ini.
“Pastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan hadir awal ke pusat mengundi masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
The post Suhaimi dakwa akaun media sosial digantung 180 hari di penghujung kempen appeared first on MYBERITA.






