Zahid gesa siasat dakwaan ‘hujan wang’ menjelang hari mengundi

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 8:42 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Zahid gesa siasat dakwaan ‘hujan wang’ menjelang hari mengundi

TAMPIN: Barisan Nasional (BN) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan pemberian wang kepada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas beberapa laporan polis bersama bukti dan saksi dikemukakan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu perlu bagi memastikan proses demokrasi berlangsung secara adil serta mematuhi peruntukan undang-undang pilihan raya.

“Saya tidak mahu membuat tuduhan tetapi dalam keadaan sangat terdesak ini pelbagai taktik berlaku di penghujung kempen.

“Seperti disebut Datuk Seri Jalaluddin semalam, berlaku ‘hujan lebat’ di beberapa tempat yang membasahi bumi, namun itu bukan kaedah yang diizinkan di bawah Akta SPR.

“Laporan polis telah dibuat dengan bukti dan saksi. Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Berkempenlah secara berhemah, cara yang baik dan bangkitkan isu yang bersesuaian dengan hasrat pengundi serta rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Libat Urus Pemimpin Masyarakat bersama Timbalan Perdana Menteri di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, dakwaan pemberian wang kepada pengundi itu juga dilihat mencerminkan keadaan pihak tertentu yang didakwa semakin terdesak menjelang hari pengundian.

“Berikan penjelasan terhadap setiap isu yang dibangkitkan dengan kesantunan politik. Rakyat telah memantapkan hati dan minda untuk memilih parti serta calon mereka.

“Jangan ada keterpaksaan yang menyebabkan kelebatan ‘hujan’ turun di kawasan tertentu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menyifatkan sebarang cubaan memberi wang kepada pengundi sebagai perbuatan yang mencabuli integriti sistem pilihan raya negara.

“Hari ini pun masih berlaku terutama di Kuala Pilah dan kawasan Jempol. Saya fikir ini satu perkara malang apabila sistem pilihan raya dicabuli sedemikian rupa.

“Apabila semua itu didakwa dilakukan calon MCA, saya ingin maklumkan di hadapan Presiden BN bahawa perkara itu tidak benar sama sekali dan tidak ada gerakan atau inisiatif daripada MCA mahupun mana-mana parti dalam BN untuk menurunkan ‘ufti’ yang melanggar peraturan berkaitan PRN,” katanya.

The post Zahid gesa siasat dakwaan ‘hujan wang’ menjelang hari mengundi appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved