
BEIJING: Pembukaan laluan perkapalan baharu melalui Lautan Artik yang diumumkan China minggu lalu berpotensi memulihkan perdagangan global ketika krisis di Asia Barat melumpuhkan beberapa laluan perairan penting di Laut Merah dan negara Teluk.
Laluan yang digelar ‘Jalan Sutera Ais’ itu bermula di Ningbo, di pantai timur China, merentasi Lingkaran Artik melalui Laluan Laut Utara (NSR) di sepanjang pantai Russia sebelum menuju ke selatan melalui Laut Utara dan berakhir di Felixstowe, timur England.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Selat Bab al-Mandeb, laluan transit utama ke Laut Merah di luar pantai Yemen, menjadi laluan yang dielakkan banyak kapal selepas kumpulan Houthi yang disokong Iran menyasarkan kapal berkaitan Arab Saudi.
Keadaan itu mengganggu pergerakan kapal yang menuju atau dari Terusan Suez, laluan perairan penting yang menghubungkan Asia Barat dengan Eropah.
Minggu lalu, syarikat perkapalan kontena China, Sea Legend yang mengkhususkan perdagangan antarabangsa dengan Afrika Utara dan Turkiye, secara rasmi mengumumkan laluan baharu itu, mengambil inspirasi daripada laluan perdagangan bersejarah China ke Eropah.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, pelayaran berkenaan mengambil masa 20 hari, jauh lebih singkat berbanding kira-kira 40 hari melalui Terusan Suez atau sekitar 50 hari melalui Tanjung Harapan di selatan Afrika.
Jepun, Korea Selatan dan India turut menyatakan minat untuk menghantar kargo melalui Laluan Laut Utara, namun China menjadi negara pertama yang mewujudkan perkhidmatan transit berjadual, selepas Sea Legend melancarkan perkhidmatan tetap menerusi laluan itu baru-baru ini.
Laluan Laut Utara yang merentasi Lingkaran Artik di sepanjang pantai utara Russia hanya boleh dilalui pada bulan-bulan lebih panas, namun tempoh pelayaran semakin panjang susulan pengecilan litupan ais laut pada musim panas.
Selepas pelayaran percubaan itu, Ketua Pegawai Operasi Sea Legend, Li Xiaobin berkata, laluan baharu berkenaan amat sesuai untuk membawa kargo yang sensitif terhadap haba dan memerlukan penghantaran pantas, termasuk bateri litium-ion serta produk fotovoltaik yang menggunakan semikonduktor untuk menukar cahaya kepada tenaga elektrik.
Suhu rendah dan jarak perjalanan yang lebih pendek menjadikan laluan itu sesuai untuk barangan berkenaan.
Namun, pakar khuatir manfaat tersebut hadir bersama risiko alam sekitar dan geopolitik serius, yang berpotensi mengatasi kelebihannya.
Pakar Program Dasar Awam dan Hal Ehwal Global Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Prof. Madya Dylan Loh berkata, laluan itu bergantung pada masa ais mencair, yang menimbulkan ketidakpastian.
Beliau berkata, laluan perkapalan Artik juga semakin dikritik kumpulan alam sekitar kerana berpotensi menyumbang kepada pencairan ais di rantau berkenaan. Penganalisis turut memberi perhatian kepada isu geopolitik yang berkemungkinan menjejaskan laluan tersebut.
“Memandangkan hampir semua kapal yang menggunakan Laluan Laut Utara untuk tujuan perkapalan adalah sebahagian daripada armada bayangan Russia yang berdepan sekatan antarabangsa yang berat, penggunaan laluan itu juga boleh menimbulkan risiko politik kepada negara lain,” kata Penganalisis Kanan Asia Timur Laut di International Crisis Group, William Yang.
Namun, katanya, sekiranya China berjaya menjadikan Laluan Laut Utara sebagai alternatif berkesan kepada Laut Merah dan Terusan Suez, ia boleh memberikan kelebihan ekonomi unik kepada Beijing serta syarikat perkapalannya ketika gangguan terhadap perdagangan maritim global di Asia Barat berterusan.
The post ‘Jalan Sutera Ais’ berpotensi pulih perdagangan global appeared first on Utusan Malaysia.





