Jalur Gemilang gergasi berkibar megah di langit Kuantan

31 Aug 2026 • 1:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jalur Gemilang gergasi berkibar megah di langit Kuantan

KUANTAN: Sorakan patriotisme lebih 20,000 pengunjung yang terpukau menyaksikan Jalur Gemilang gergasi berukuran 4×6 meter dan seberat lapan kilogram diterbangkan serta dikembangkan pada ketinggian kira-kira 4,000 kaki, mewarnai sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri, hari ini.

Berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4 di sini, aksi penuh debar itu bukan sekadar menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan, malah mencipta detik bersejarah bakal diiktiraf dalam Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai kibaran Jalur Gemilang terbesar dari udara.  

Keunikan persembahan bermula apabila pasukan penerjun membawa Jalur Gemilang dari langit sebelum dibuka megah di udara, menjadikan Padang MBK 4 seolah-olah pentas patriotisme yang menyatukan rakyat dengan semangat merdeka.

Aksi itu membabitkan 18 penerjun Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diterjunkan dari ketinggian 6,000 kaki menggunakan dua helikopter AW139 dari No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth.

Penerjunan itu diketuai Pegawai Memerintah Paskau, Kolonel Muhammad Mustafa Omar, manakala Sarjana Udara Muhamad Firdaus Minhat yang mempunyai pengalaman 553 penerjunan turut terlibat dalam aksi berkenaan.

Sorakan dan tepukan gemuruh 20,000 pengunjung bergema sebaik sahaja Jalur Gemilang gergasi berkibar megah di langit Kuantan, sekali gus menjadikan aksi itu antara momen paling mencuri tumpuan dalam sambutan tahun ini.

Lebih daripada sekadar pertunjukan udara, aksi itu menjadi manifestasi semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara apabila Jalur Gemilang dibawa dari langit ke bumi sebagai simbol kebanggaan rakyat Malaysia.

Sambutan turut diserikan dengan lintasan udara enam pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No. 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang melakukan pertunjukan flypast di ruang udara Bandaraya Kuantan. 

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan bercemar duli berangkat ke sambutan berkenaan.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan yang membabitkan 150 kontinjen, terdiri daripada 87 kontinjen berjalan kaki dan 63 kontinjen berkenderaan.

Perbarisan dan perarakan yang berlangsung lebih dua jam itu membabitkan seramai 3,373 peserta serta 609 kenderaan. – UTUSAN

The post Jalur Gemilang gergasi berkibar megah di langit Kuantan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved