
UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan dalam menyemarakkan semangat patriotisme apabila diberi kepercayaan menjayakan persembahan pembukaan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Dataran Raub, Pahang baru-baru ini.
Majlis anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang dengan kerjasama induk Jabatan Penerangan Negeri Pahang itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta menghayati semangat cintakan negara melalui penglibatan komuniti, agensi kerajaan dan institusi pendidikan.
Persembahan pembukaan yang menampilkan seramai 13 orang pelajar dari Kelab Kencana Pawana UMPSA yang turut mendapat sokongan daripada 11 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini 2 dan enam orang pelajar SMK Sungai Isap, menjadikan keseluruhan seramai 30 orang peserta bersama-sama mengangkat kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat Malaysia.
Menurut Penasihat Kelab Kencana Pawana, Shahrul Nizam Othman, penglibatan pelajar dalam persembahan pembukaan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk mengetengahkan bakat seni dan kreativiti, malah menjadi medium penting dalam menyemai semangat patriotisme serta menghayati kepelbagaian budaya yang menjadi identiti masyarakat Malaysia.
“Persembahan ini dirangka dengan membawa konsep Citrawarna yang menggabungkan elemen pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.
“Selain itu, kami juga dapat melibatkan pelajar dari sekolah-sekolah terpilih yang memperlihatkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
“Pengalaman berada di pentas rasmi peringkat negeri seperti ini tentunya memberikan nilai tambah kepada pelajar, khususnya dari aspek keyakinan diri, disiplin, kepimpinan dan kerja berpasukan,” ungkapnya.

Tambahnya, pada masa sama, mereka dapat memahami bahawa seni dan kebudayaan juga merupakan salah satu medium untuk menyatukan masyarakat serta menyemarakkan kecintaan kepada negara.
Persembahan tersebut menggabungkan elemen seni, budaya dan gerak tari daripada pelbagai latar masyarakat dalam satu persembahan yang mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Penglibatan pelajar dari UMPSA bersama pelajar-pelajar sekolah turut memperlihatkan usaha berterusan universiti dalam memperkasa bakat dan kreativiti generasi muda melalui platform kebudayaan dan kenegaraan.
Kolaborasi berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar menampilkan bakat di pentas rasmi, malah membina keyakinan, disiplin serta semangat kerja berpasukan dalam menjayakan sebuah persembahan berskala negeri.
Persembahan tersebut turut diserikan dengan elemen patriotik yang memeriahkan suasana majlis, sekali gus membawa mesej bahawa kepelbagaian budaya bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi asas yang memperkukuh perpaduan dan membentuk identiti Malaysia yang unik.
Sementara itu, Presiden Kelab Kencana Pawana merangkap koreografer persembahan, Nurfarhan Hakim Mahdon berkata, peluang menggalas tanggungjawab tersebut menjadi satu pengalaman berharga dalam mengasah kepimpinan, kreativiti serta keupayaan mengurus pasukan dalam kalangan mahasiswa UMPSA.
“Sebagai koreografer, saya banyak terlibat dalam merangka konsep, menyusun pergerakan, membentuk formasi serta memastikan setiap elemen tarian dapat diterjemah mengikut tema yang telah ditetapkan.
“Cabaran utama adalah bagaimana untuk menghasilkan persembahan yang bukan sahaja menarik dari segi visual, tetapi juga mempunyai identiti dan mesej yang jelas.
“Bagi saya, penglibatan pelajar UMPSA dalam persembahan ini menunjukkan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu menyerlah dalam bidang akademik, tetapi turut mempunyai bakat dan keupayaan untuk menghasilkan persembahan yang berkualiti di pentas rasmi peringkat negeri,” katanya.
Nurfarhan berharap Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Pahang di Raub itu terus menjadi platform yang menyemarakkan semangat Malaysia, selain mengingatkan seluruh rakyat tentang kepentingan memelihara keharmonian, menghargai kepelbagaian dan bersama-sama membina masa depan negara yang lebih sejahtera.
The post UMPSA warnai pelancaran Bulan Kebangsaan Negeri Pahang appeared first on Kosmo Digital.






