Semarak merdeka di puncak Bukit Besar

SportsHealth & Fitness
31 Aug 2026 • 10:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Semarak merdeka di puncak Bukit Besar

Lebih 50 warga kerja dan pelajar ADTEC JTM Kampus Kuala Terengganu menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Bukit Besar, Terengganu, baru-baru ini.

Program pendakian sempena Hari Kebangsaan itu turut menjadi platform untuk memupuk amalan hidup sihat dalam kalangan warga institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkenaan menerusi aktiviti riadah secara bersama.

Program anjuran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ADTEC JTM Kampus Kuala Terengganu itu melibatkan kakitangan serta pelajar institusi tersebut.

Ketua program, Norbi Ismail berkata, penganjuran aktiviti tersebut bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, malah memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kesihatan.

Menurutnya, aktiviti fizikal seperti mendaki dapat menggalakkan warga kerja dan pelajar supaya menjadikan aktiviti riadah sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.

“Program ini dianjurkan sebagai usaha untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan warga ADTEC JTM.

“Pada masa sama, kita mahu menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan aktiviti yang dapat menghimpunkan kakitangan dan pelajar dalam suasana lebih santai,” katanya.

Norbi berkata, peserta secara berkumpulan berjaya mendaki ke puncak Bukit Besar setinggi 159 meter dalam masa kira-kira 30 minit.

Katanya, tempoh pendakian itu memberi peluang kepada peserta melakukan aktiviti fizikal sambil menikmati suasana alam semula jadi, sebelum mengibarkan Jalur Gemilang.

“Selain menjaga kesihatan, aktiviti ini juga menjadi salah satu cara untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga ADTEC JTM, khususnya generasi Z yang terdiri daripada sebahagian besar pelajar kita.

“Kita mahu semangat cintakan negara itu terus dekat dengan golongan muda, dan tidak hanya diterjemahkan melalui sambutan atau program berbentuk konvensional,” katanya.

Image from: Semarak merdeka di puncak Bukit Besar
Program pendakian tersebut memupuk gaya hidup sihat dan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja dan pelajar ADTEC JTM Kuala Terengganu.

Menurutnya, pendekatan melalui aktiviti santai dan berasaskan pengalaman seperti pendakian mampu memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada golongan muda dalam menghayati sambutan Bulan Kebangsaan.

Katanya, penglibatan generasi Z dalam aktiviti berkenaan juga penting bagi memastikan semangat patriotisme terus disuburkan kepada generasi pelapis negara.

“Apabila mereka sendiri mendaki bersama rakan-rakan, membawa Jalur Gemilang dan sampai ke puncak bersama-sama, ia mewujudkan pengalaman yang boleh membina rasa bangga serta kecintaan terhadap negara,” katanya.

Tambahnya, penglibatan pelajar dalam aktiviti seumpama itu juga penting bagi membentuk kesedaran bahawa kecergasan fizikal merupakan antara elemen yang menyumbang kepada kesejahteraan diri.

Sementara itu, Pengarah ADTEC JTM Kampus Kuala Terengganu, Ts. Wan Ahmad Jailani Wan Ngah berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan warga institusi berkenaan mengambil bahagian dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan.

Katanya, aktiviti pendakian merupakan antara pendekatan yang sesuai untuk menggalakkan warga ADTEC JTM kekal aktif, selain dapat menyokong usaha membentuk persekitaran kerja dan pembelajaran sihat.

“Kesihatan perkara yang perlu diberi perhatian kerana warga kerja dan pelajar yang sihat akan lebih bersedia untuk melaksana tanggungjawab masing-masing.

“Kita mahu budaya menjaga kesihatan ini menjadi sebahagian daripada kehidupan warga ADTEC JTM,” katanya.

Tambahnya, penganjuran aktiviti itu juga selari dengan usaha pihaknya untuk menerapkan nilai kelestarian dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga institusi.

Katanya, pendekatan ESG bukan hanya tertumpu kepada aspek pengurusan dan kelestarian alam sekitar, malah merangkumi kesejahteraan komuniti serta warga organisasi.

“Melalui aktiviti seperti ini, kita dapat menggabungkan elemen kesihatan, kebersamaan, kelestarian dan semangat patriotik dalam satu program.

“Pada masa sama, kibaran Jalur Gemilang di puncak Bukit Besar menjadi simbol semangat cintakan negara,” katanya.

Menurutnya, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, menjaga diri, menghargai masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pelajar TVET juga mempunyai peranan besar kerana mereka merupakan antara kumpulan yang akan mengisi keperluan tenaga mahir negara pada masa hadapan,” katanya.

The post Semarak merdeka di puncak Bukit Besar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved