Jalur Gemilang gergasi dari langit Kuantan bakal catat rekod MBR

31 Aug 2026 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jalur Gemilang gergasi dari langit Kuantan bakal catat rekod MBR
Anggota PASKAU melakukan terjunan dengan membawa Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Padang MPK 1 pada Isnin. Foto Bernama
Image from: Jalur Gemilang gergasi dari langit Kuantan bakal catat rekod MBR
Jalur Gemilang dibuka pada ketinggian 4,000 kaki oleh Sarjan Udara Muhamad Firdaus Minhat yang mempunyai pengalaman 553 kali penerjunan. Foto Bernama
Image from: Jalur Gemilang gergasi dari langit Kuantan bakal catat rekod MBR
Aksi itu mencuri perhatian lebih 20,000 yang menyaksikan Jalur Gemilang gergasi dibawa turun dari langit. Foto Bernama
Image from: Jalur Gemilang gergasi dari langit Kuantan bakal catat rekod MBR
Al-Sultan Abdullah memeriksa Kawalan Hormat Utama sebelum bermula Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 4 pada Isnin.

KUANTAN - Aksi payung terjun membawa bendera gergasi Jalur Gemilang berukuran 4 meter x 6 meter seberat lapan kilogram yang dipersembahkan pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4 di sini bakal diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.

Aksi itu membabitkan 18 penerjun Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang diterbangkan menggunakan dua helikopter AW139 dari No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth sebelum melakukan penerjunan dari ketinggian 6,000 kaki.

**media[3631978]**

Penerjunan diketuai Pegawai Memerintah PASKAU, Kolonel Muhammad Mustafa Omar (TUDM) menerusi formasi Canopy Formation Skydive (CFS) bersama 17 lagi penerjun.

Dalam aksi berkenaan, Jalur Gemilang dibuka pada ketinggian 4,000 kaki oleh Sarjan Udara Muhamad Firdaus Minhat yang mempunyai pengalaman 553 kali penerjunan.

Bendera berkenaan kemudiannya dibawa bersama penerjun dengan payung dipandu pada kelajuan sekitar 40 kilometer sejam sebelum dikibarkan secara berpasangan dan dicantumkan di udara pada ketinggian 1,000 kaki.

Aksi itu mencuri perhatian lebih 20,000 yang menyaksikan Jalur Gemilang gergasi dibawa turun dari langit, sekali gus menyemarakkan suasana patriotik sambutan berkenaan.

**media[3631987]**

Sambutan itu turut diserikan dengan keberangkatan tiba Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, manakala Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Seri Burhah Mohamed serta barisan kepimpinan kerajaan negeri turut hadir.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan memeriksa Kawalan Hormat Utama sebelum menyaksikan perbarisan 150 kontinjen membabitkan 87 kontinjen berjalan kaki dan 63 kontinjen berkenderaan.

**media[3631990]**

Sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, bacaan ikrar serta laungan Merdeka sebanyak tujuh kali yang disertai seluruh hadirin.

Selain aksi penerjunan PASKAU, ruang udara Kuantan turut menjadi tumpuan apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempersembahkan pertunjukan udara membabitkan aset pesawat pejuang utama negara.

Sebanyak enam pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No. 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak melakukan lintasan udara atau flypast di ruang udara Bandaraya Kuantan.

Pertunjukan udara itu memperlihatkan pelbagai keupayaan pesawat pejuang terbabit termasuk operasi pertahanan udara, serangan darat dan maritim, sokongan udara rapat, pengeboman tepat serta peperangan elektronik.

Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan seni silat, tarian kemerdekaan, pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS), selain perarakan kontinjen berjalan kaki dan berkenderaan.

Turut mencuri perhatian ialah perarakan kereta berhias Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Tourism Pahang dan Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (SDO), persembahan Bomba Cilik serta perarakan aset ketenteraan darat.

Secara keseluruhan, sambutan kali ini membabitkan 3,373 peserta kontinjen berjalan kaki serta 609 kenderaan termasuk tujuh pancaragam sepanjang acara yang berlangsung lebih dua jam itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved