Jamawi minta henti tular video dakwaan buli di asrama sekolah Tenom

24 Jun 2026 • 10:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jamawi minta henti tular video dakwaan buli di asrama sekolah Tenom
Jamawi berkata, semua pihak perlu menghormati permintaan keluarga mangsa yang tidak mahu rakaman kejadian tersebut terus ditularkan.

TENOM - Orang ramai diminta tidak menyebarkan gambar atau video berkaitan dakwaan kes buli yang berlaku di sebuah asrama sekolah di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, semua pihak perlu menghormati permintaan keluarga mangsa yang tidak mahu rakaman kejadian tersebut terus ditularkan di media sosial.

"Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak viralkan gambar dan video tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah turut berharap pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempertingkatkan usaha kesedaran bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar.

"Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran ‘Elakkan Buli’ di sekolah masing-masing agar perkara seperti ini tidak berulang.

"Semoga ia menjadi pengajaran penting untuk kita semua," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak berkata, setakat ini tiga murid  telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk individu yang dipercayai terlibat dalam insiden dan penyebaran video tular tersebut.

"Beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan. Kes disiasat susulan video yang tular pada Selasa. 

"Mangsa pula dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang murid telah ditarik rambut dan didakwa dipukul dalam satu insiden di sebuah asrama sekolah di kawasan pedalaman di negeri ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved