Jamin keselamatan di stesen pengangkutan awam

2 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jamin keselamatan di stesen pengangkutan awam

BARU-baru ini seorang pengguna kemudahan Park N’ Ride di sebuah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) kehilangan dua tayar kenderaannya. Kes seperti ini mungkin nampak kecil jika dibandingkan dengan jenayah lain, tetapi kesannya kepada keyakinan pengguna pengangkutan awam tidak boleh dipandang ringan.
Kebimbangan terhadap keselamatan harta benda juga mempunyai asas. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sebanyak 58,255 kes jenayah indeks direkodkan pada 2024. Daripada jumlah itu, 47,188 merupakan jenayah harta benda, meningkat 12.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sebanyak 14,198 kes pula melibatkan kecurian kenderaan.
Setakat data awam yang dapat diperoleh, statistik terperinci mengenai jumlah kecurian atau kerosakan kenderaan khusus di Park N’ Ride Transit Aliran Massa (MRT), LRT dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) tidak diterbitkan secara menyeluruh.
Berapa banyak kes pecah kereta, kehilangan motosikal, kecurian tayar atau vandalisme sebenarnya berlaku di kawasan parkir pengangkutan awam setiap tahun?
Ini penting kerana penggunaan rel di Malaysia semakin meningkat. Statistik Kementerian Pengangkutan menunjukkan perkhidmatan rel merekodkan kira-kira 336.7 juta penumpang pada 2024, meningkat 23.8 peratus berbanding 2023. LRT Laluan Kelana Jaya sahaja membawa 84.7 juta penumpang, manakala MRT Kajang membawa 84.5 juta penumpang.
Semakin ramai rakyat menggunakan tren, semakin besar keperluan untuk melihat keselamatan sebagai satu ekosistem.
Bagaimana dengan wanita yang perlu berjalan seorang diri ke kawasan parkir pada waktu malam? Bagaimana dengan motosikal yang ditinggalkan sejak awal pagi? Bagaimana pula dengan kereta yang berada di tingkat parkir yang kurang dilalui orang?
Kamera litar tertutup (CCTV) memang penting. Tetapi memasang CCTV sahaja belum tentu bermaksud kawasan itu selamat.
Persoalan yang lebih penting ialah sama ada kamera berfungsi, rakaman dipantau, kawasan gelap dikenal pasti dan tindakan boleh dilakukan dengan cepat apabila berlaku sesuatu. Rondaan keselamatan juga perlu dibuat berdasarkan waktu dan lokasi berisiko, bukannya sekadar rutin.
Pencahayaan turut memainkan peranan. Kawasan parkir yang gelap, terlindung atau mempunyai banyak sudut yang tidak dapat dilihat boleh menimbulkan rasa tidak selamat walaupun kejadian jenayah belum berlaku.
Pengendali juga wajar menyediakan saluran aduan keselamatan yang mudah dikenal pasti. Pengguna yang mendapati kenderaan dirosakkan tidak sepatutnya tercari-cari siapa yang harus dihubungi.
Satu lagi perkara yang patut dipertimbangkan ialah penerbitan statistik keselamatan Park N’ Ride secara berkala. Tidak perlu terlalu rumit. Bilangan insiden, jenis kes, lokasi dan tindakan penambahbaikan sudah memadai.
Data seperti ini membolehkan pengendali mengenal pasti kawasan bermasalah. Pada masa sama, masyarakat boleh melihat sama ada langkah keselamatan benar-benar membawa perubahan.
Malaysia sedang menggalakkan lebih ramai rakyat beralih daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.
Pengguna juga perlu mempunyai keyakinan bahawa perjalanan mereka selamat dari mula hingga akhir.
Mereka mahu selamat ketika berjalan menuju stesen. Mereka mahu selamat ketika menunggu tren. Mereka mahu selamat di dalam gerabak.
Dan apabila pulang pada waktu petang, mereka tentunya mahu kereta yang ditinggalkan sejak pagi masih mempunyai empat tayar.
Kalau kita benar-benar mahu rakyat naik tren, keselamatan tidak boleh berhenti di pintu stesen.

SITI NURHIJAN MAHAMAD HASRI
Pelajar sarjana Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), UiTM Kampus Puncak Alam

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved