JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kerajaan negeri akan meneruskan majlis jamuan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini secara sederhana.
Beliau berkata, majlis rumah terbuka Menteri Besar yang menjadi acara tahunan itu tetap diteruskan seperti kebiasaan.
Menurutnya, penganjuran majlis berkenaan bagaimanapun akan dibuat secara kecil-kecilan.
“Saya melihat kita akan buat, tetapi secara kecil-kecilan. Majlis rumah terbuka Menteri Besar secara lazimnya memang dilaksanakan setiap tahun,” katanya.
Beliau ditemui selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor pada Sabtu.
Pada 11 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan dan GLC/GLIC mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan kewangan lebih berdisiplin selain memberi contoh baik dalam keadaan ekonomi semasa.

