
JOHOR BAHRU – Keputusan berhubung kesediaan bekas pemimpin UMNO dari Johor untuk kembali bersama parti akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti.
**media[3463241]**
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kepimpinan di peringkat negeri menyambut baik kenyataan dikeluarkan oleh bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Jelasnya, ia menunjukkan petunjuk positif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung inisiatif Rumah Bangsa yang membuka ruang kepada bekas ahli yang dipecat, digantung dan meninggalkan parti kembali menyertai UMNO.
“Di peringkat Johor kita menyambut baik apa yang diminta oleh presiden berkaitan Rumah Bangsa. Kepada bekas pemimpin dari Johor yang membuat kenyataan mahu kembali kepada UMNO, kita terima dengan baik.
“Namun begitu, keputusan akhir mengenai perkara tersebut akan dibuat di peringkat tertinggi parti,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Johor di Pejabat UMNO Johor pada Sabtu.
Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Selain Maulizan dan Hishammuddin, turut digantung selama enam tahun ialah bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut dipecat daripada UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penggantungan dan pemecatan pemimpin UMNO tersebut diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat yang sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kos sara hidup.
"Dari segi pilihan raya, persiapan sentiasa ambil kira namun pada masa sekarang rakyat sedang susah. Ada isu yang perlu diselesaikan.
"Tiada ketetapan bila (pilihan raya negeri) hendak diadakan. Kita akan terus berjasa dan berkhidmat di lapangan untuk pastikan isu rakyat dapat diselesaikan kerajaan negeri," katanya.
Sebelum ini, Onn Hafiz menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2027, sejajar dengan tempoh penggal pentadbirannya yang tamat pada tarikh berkenaan.

