
BUTTERWORTH : Pulau Pinang perlu mempertahankan tiga perkara utama yang menjadi prinsip atau pegangan negeri itu jika ingin kekal menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pertama sekali, negeri itu perlu terus untuk menjadi peneraju atau barisan hadapan dari segi pembangunan ekonomi negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, selain itu, perpaduan rakyat pelbagai kaum juga harus dipertahankan kerana ia adalah kekuatan Pulau Pinang selama ini.
“Ketiga, kita juga harus menjadi sebuah negeri yang penuh dengan kasih sayang. Sebagai contoh, ketika rakyat Pulau Pinang berdepan kesusahan, kesukaran dan musibah dalam kehidupan, maka, perlu ada dasar-dasar kebajikan untuk mendukung dan menjaga mereka.
“Jadi, jangan abaikan tiga perkara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih One Hope Charity and Welfare yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di Pusat Konvensyen PICCA @Butterworth Arena, hari ini.
Pada majlis itu, kira-kira 10,000 keluarga menerima agihan bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan asas sumbangan One Hope Charity dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.5 juta.
Mengulas lanjut, Steven turut memuji One Hope Charity yang berjaya menjadi antara pertubuhan kebajikan terbesar di Malaysia ketika ini walaupun bermula sebagai sebuah organisasi kecil di Bukit Mertajam kira-kira 24 tahun yang lalu.
“Mereka (One Hope Charity) juga memenuhi ketiga-tiga perkara yang saya sebutkan tadi kerana mereka bukan sahaja mempunyai rangkaian ahli perniagaan atau penderma yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat, tetapi juga tidak pernah memilih bulu dalam melakukan kerja-kerja kebajikan.
“Selain itu, sudah tentu kerja-kerja yang mereka lakukan selama ini turut mencerminkan semangat kebajikan serta semangat kasih dan sayang yang harus kita terus pupukkan di Pulau Pinang,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pertubuhan kebajikan itu telah menyalurkan lebih RM100 juta bagi membantu ramai pesakit mendapatkan rawatan, menyokong hospital kerajaan, menyumbang peralatan perubatan serta melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk tempoh lima tahun bermula 2021.-UTUSAN
The post ‘Jangan abai tiga perkara jika ingin kekal sebagai negeri contoh’ appeared first on Utusan Malaysia.






